Skip to main content

Produk Penyelidikan SeaFilm raih Anugerah Khas ITEX 2020

PEKAN, 21 November 2020 – Produk Penyelidikan SeaFilm (SF): Active Food Packaging Film yang dihasilkan Pensyarah Kolej Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Nurul Aini Mohd Azman telah meraih anugerah khas Best Green Invention Award sempena Pertandingan Penyelidikan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2020 (ITEX 2020) yang dijalankan buat pertama kalinya secara dalam talian tahun ini.
Produk SeaFilm (SF) dicipta sebagai plastik pembungkusan makanan biodegradasi aktif tidak hanya digunakan sebagai pembungkus makanan malah dapat memanjangkan jangka hayat makanan.
Dr. Nurul Aini mengucapkan terima kasih kepada UMP terutamanya kepada pihak fakulti yang sentiasa memberi sokongan dan galakan dalam menjalankan penyelidikannya.
Beliau tidak menyangka hasil penyelidikannya berjaya meraih pingat emas dan memenangi anugerah khas.
Penganjuran pada kali ini menyaksikan seramai 24 orang penyelidik memenangi pingat emas, sepuluh pingat perak dan satu pingat gangsa.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, memandangkan kita masih dalam pandemik COVID-19, penjurian penuh adalah berdasarkan pembentangan melalui video sebagai norma baharu.
“Norma baharu dalam penilaian ini bukanlah penghalang bagi para penyelidik untuk terus berkongsi hasil penyelidikan.
“Diharapkan dengan kejayaan ini akan menyuntik semangat para penyelidik untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan seiring dengan tagline UMP, Teknologi untuk Masyarakat,” katanya.  
Semua peserta telah menyediakan video yang menerangkan mengenai hasil penyelidikan masing-masing.
Pertandingan ini disertai oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS yang membabitkan lebih 500 produk inovasi yang dipertandingkan.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri