Skip to main content

Alex rangkul Anugerah Olahragawan UMP

Kuantan, 25 Oktober  – Mahasiswa  Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA), Alex Tiong Sie Hung  yang cemerlang dalam sukan renang dengan meraih pingat emas bagi Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan MASUM 2018 merangkul Anugerah Olahragawan dalam Majlis Penghargaan Sukan UMP yang berlangsung di Sri Manja Boutique, Indera Mahkota baru-baru ini.

Bagi Olahragawati pula dimenangi oleh Nurul Hani Shafiza Hassan dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI). Beliau merupakan atlit memanah banyak memenangi pingat di MASUM dan SUKIPT. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Olahragawati Harapan pada tahun 2016. Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang tunai.

Manakala bagi Pemenang Anugerah Olahragawan Harapan dimenangi oleh Muhammad Hafizudin Mohd Nasri menerusi sukan Boling Padang manakala Anugerah Olahragawati Harapan pula telah dimenangi oleh Nur Nadhirah Ab Rasul yang merupakan atlit Petanque UMP.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof.Dato Dr Yuserrie Zainuddin. Hadir sama Ketua Pegawai  Operasi UMP, Abd Hamid Majid , Dekan Pembangunan Pelajar, Ts Dr. Mohamad Mat Nor dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebuhayaan UMP, Abd Rahman Hj Safie.

Dalam majlis ini, Prof.Dato Dr Yuserrie Zainuddin melahirkan ucapan tahniah kepada  35 atlit mahasiswa UMP yang telah mengharumkan nama universiti  dan negara dalam bidang sukan.

Ujarnya, universiti  sebenarnya memerlukan mahasiswa yang berwibawa untuk menghadapi cabaran ke peringkat tertinggi samada dalam bidang akademik, penyelidikan dan sukan.

Tambahnya lagi, pihak pengurusan universiti telah membuat pelbagai program bagi menghasilkan mahasiswa yang berwibawa dan berketerampilan.

“Saya yakin para atlit UMP mampu bangkit untuk berjaya di persada sukan  di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Menerusi  bersukan juga atlit berpotensi untuk meningkatkan imej serta merangsang minda yang cergas justeru dapat meningkatkan kemahiran dalam membuat keputusan dengan baik,” katanya. Beliau mengharapkan penganugerahan ini dapat menjadikan  sumber inspirasi dan memberikan kenangan manis kepada atlit UMP.

Bagi Alex yang membawa pulang insentif kecemerlangan sebanyak RM 12,800 itu berkata, beliau amat berterima kasih kepada UMP di atas insentif dan pengiktirafan ini. Kejayaan ini memberikannya inspirasi untuk terus mencipta kecemerlangan. Apatah lagi kini beliau sedang membuat persiapan  mewakili negara dalam acara renang di  Asean University Game (AUG) di Myanmar  pada bulan Disember nanti.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim