Skip to main content

Kejohanan SUKFAC cungkil bakat sukan mahasiswa UMP

Pekan, 16 November- Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) yang masuk edisi ke–10 kali ini merupakan medium untuk melahirkan graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berketerampilan dan mempunyai daya saing yang tinggi baik dalam aspek akademik dan juga aktiviti ko-korikulum.

Bukan sahaja penglibatan sebagai atlit dalam pertandingan, tetapi juga penglibatan dalam penganjuran aktiviti sukan juga harus dipandang sebagai salah satu platform untuk mengasah kemahiran seperti membuat keputusan, pengurusan, komunikasi dan organisasi yang  bakal dipraktikan sepenuhnya dalam kehidupan seharian. 

“UMP sebenarnya memerlukan pelajar yang benar-benar berwibawa untuk membawa cabaran ke peringkat tertinggi baik di dalam akademik, penyelidikan termasuk juga sukan. Banyak program yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak universiti untuk menghasilkan pelajar atlit yang berwibawa dan berketerampilan,” ujar Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP, Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin yang hadir merasmikan kejohanan di UMP Pekan.

Begitu juga pihak Pusat Sukan dan Kebudayaan yang berperanan untuk melahirkan atlit sukan yang mampu memberi cabaran yang hebat dalam arena sukan dan juga kebudayaan. Katanya, melalui kepakaran dan kemudahan yang ada pada universiti, kita yakin para atlit UMP mampu bangkit untuk berjaya di persada sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.  

Selain itu, pihak universiti sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Pusat Sukan dalam membawa perubahan kepada pembangunan sukan di universiti. UMP mempunyai pelbagai prasarana sukan dan ianya akan dipertingkatkan dan diperbanyakkan dari semasa ke semasa sejajar dengan perkembangan semasa sukan universiti.

Beliau berharap para pelajar akan mengambil peluang dan menggunakan segala kemudahan sukan secara optima dalam mengembangkan serta mengasah bakat dalam diri masing-masing. Sukan adalah satu aktiviti yang memerlukan latihan yang konsisten. Kemudahan yang telah disediakan perlulah dijaga supaya lebih ramai dapat menggunakannya.

Dalam pada itu, beliau menyeru dekan-dekan fakulti dapat memberi sokongan penuh kepada atlet yang mewakili fakulti masing-masing di kejohanan ini sama ada dalam bentuk sokongan moral, bantuan kewangan dan penglibatan dari pensyarah fakulti secara langsung atau tidak  langsung.

Penganjuran sukan ini berlangsung secara dua fasa iaitu pada 17 – 18 November 2018 di Kampus Pekan dan 24 – 25 November 2018 di Kampus Gambang serta sekitar Kuantan. Kejohanan menyaksikan 9 acara sukan dipertandingkan antaranya Sepak Takraw, Ping Pong, Petanque, Catur, Boling Padang, Tenpin Boling, Bola Baling, Bola Keranjang dan Tenis manakala seramai dianggarkan seramai 1200 mahasiswa akan mewakili fakulti masing-masing pada kejohanan kali ini.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim