Skip to main content

Syamir Azri wakili negara dalam FISU eSports Challenge Football FIFA 20

Pekan, 16 Julai 2020 – Gemar bermain permainan video bola sepak mendorong mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Sistem Kuasa), Muhammad Syamir Azri Nazli Lim, 24 untuk melibatkan diri dengan serius dalam sukan ini sehingga berjaya melayakkan diri mewakili Malaysia dalam kejohanan FISU eSports Challenge Football FIFA 20.

Pertandingan yang berlangsung pada 6 hingga 16 Julai ini melibatkan 48 penyertaan daripada 16 buah negara dan Malaysia diwakili oleh seorang atlet lelaki dan seorang atlet wanita manakala Pegawai Belia dan Sukan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi dilantik sebagai Pengurus Pasukan.

Menurut Syamir, beliau mula menceburi permainan video ini sejak berumur lima tahun setelah mengikut minat abangnya yang suka bermain permainan video.

“Namun kini, minat itu lebih cenderung ke arah permainan bola sepak dan Manchester United merupakan pasukan kegemaran saya.

“Saya telah mendapat undian satu kumpulan bersama South Afrika, Peru dan Poland.

“Alhamdulillah, saya telah menjadi johan kumpulan dan berjaya mara ke pusingan 16 terbaik. Perjalanan saya tamat pada pusingan tersebut apabila tewas kepada pemain Australia,” katanya.

Ujarnya, walaupun tewas tetapi beliau tetap berpuas hati kerana ini merupakan pertandingan peringkat antarabangsa pertama buatnya dan mampu melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Berkongsi pengalamannya, Syamir berkata, pada awalnya beliau hanya bermain untuk suka-suka sehinggalah beliau habis sekolah menengah, hasil sokongan kawan-kawannya yang memberikan semangat untuk bermain dalam pertandingan FIFA.

“Ketika pertama kali menyertai pertandingan itu, tidak disangka saya berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

“Sejak itu, saya merasakan mampu pergi lebih jauh dan menyertai lebih banyak lagi pertandingan FIFA ini.

“Setakat ini saya hanya bermain di peringkat dalam negara sahaja, jadi pertandingan yang dianjurkan oleh FISU ini merupakan pengalaman pertama saya mewakili UMP dan negara,” ujarnya.

Pada pandangannya, jika ramai yang menganggap aktiviti permainan video ini membazirkan masa, FISU eSports Challenge Football FIFA20 ini lebih menitikberatkan kemahiran dan kecekapan anak muda yang profesional dalam bidang berkenaan untuk mempertaruhkan sedaya upaya kemahiran yang ada demi memenangi hadiah utama.

“Selain memberikan fokus tertinggi pada permainan video yang diminati, pemain juga berpeluang menemui lebih ramai rakan dari pelbagai negara yang berkongsi minat sama.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Unit Perhubungan Awam dan Media PNC - Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri