Skip to main content

103 Pegawai Kadet PALAPES UMP terima pentauliahan

BANGI, 10 September 2022 - Seramai 103 pegawai kadet PALAPES Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pentauliahan sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-40 di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut dihadiri Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Seramai 1,024 Pegawai Kadet Tentera Darat (TDM), 277 orang Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 324 orang Pegawai Kadet Tentera Udara  Diraja Malaysia (TUDM) menerima watikah pelantikan.

Dalam majlis itu, LT M. Amir Zuhaili Abdul Karim dinobatkan Pegawai Kadet Terbaik Perkhidmatan TDM manakala LT Muhammad Amirul Fadhli Muhammad Fuzi dinobatkan Pegawai Kadet Terbaik TUDM. 

Turut dinobatkan Pegawai Kadet Terbaik adalah LT M. Muhammad Bashirullah Bahran bagi perkhidmatan TUDM.

Dalam pada itu, istiadat perbarisan ini membabitkan seramai 1,625 pegawai kadet PALAPES daripada 19 UA seluruh Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK), Muhammad Badrul Amin daripada PALAPES UKM.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit