Skip to main content

3,472 mahasiswa UMP terima peranti siswa

KUANTAN, 30 Oktober 2022 - Seramai 3,472 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima peranti secara berperingkat menerusi Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa B40 dalam memastikan proses pengajian para mahasiswa berjalan lancar. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff hadir menyampaikan peranti kepada mahasiswa  mengharapkan  pelajar memanfaatkan kemudahan itu dengan sebaik mungkin.

Katanya, semoga pemberian ini dapat memberi manfaat dan akan memberi semangat  kepada mahasiswa untuk lebih berjaya dalam bidang pengajian yang mereka ceburi.

“Cakna terhadap kebajikan mahasiswa,  pelbagai inisiatif diperkenalkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan. 

“Antaranya termasuklah pengurangan yuran pengajian sebanyak 20 peratus bagi Semester Pertama Akademik 2021/2022, memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia pada harga serendah RM3.50 dan pemerkasaan inisiatif Food Bank Siswa,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat UMP di UMP Kampus Gambang. 

3,472 mahasiswa UMP terima peranti siswa

Jelas beliau lagi, terbaharu kita telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menganjurkan Jualan Murah Keluarga Malaysia khusus bagi pelajar IPT. 

“Malahan, satu lagi inisiatif baharu KPT iaitu Program Pembangunan Mahasiswa Sulung Keluarga Malaysia atau lebih dikenali dengan nama SULUNG.

“Begitu juga dengan Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang sehingga kini tujuh tempat telah diagihkan antaranya Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya.  

Beliau turut berpeluang berkunjung ke UMP Campus Pantry yang merupakan inisiatif UMP dan Yayasan UMP bagi menyediakan pelbagai bantuan, insentif dan inisiatif untuk membantu mahasiswa. 

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif daripada kerajaan ini semestinya suatu berita gembira dan bermakna buat para mahasiswa yang menerima sumbangan ini. 

3,472 mahasiswa UMP terima peranti siswa

“Peranti ini akan menjadi milik para mahasiswa sepenuhnya untuk digunakan sehingga tamat pengajian dan boleh juga digunakan selepas bergraduasi kelak.

“Dalam pada itu, melalui Yayasan UMP pelbagai bantuan turut disediakan termasuklah  Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMP, Bantuan Komputer Riba, UMP Campus Pantry, Bantuan Zakat untuk mahasiswa Muslim, Bantuan Sara Diri untuk mahasiswa Non-Muslim, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi bantuan yang disediakan,” ujarnya. 

Turut berlangsung penyampaian penyerahan Insentif Pendidikan Pelajar B40, penyerahan Insentif Kecemerlangan Mahasiswa dan penyerahan Bantuan Komputer Riba Pelajar B40 kepada wakil pelajar untuk dimanfaatkan kepada seramai 450 porang enerima. 

Turut berlangsung penyampaian hadiah pemenang Reka Cipta Poster Infografik sempena Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat UMP Tahun 2022 anjuran Pusat Sejahtera dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental. 

Hadir sama Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Jabatan Pendidikan Tinggi yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Mohd Sharil Abdullah dan Pengarah Pusat Sitasi dan Infometrik Jabatan Pendidikan Tinggi, Ts. Noor Hapipah Samat. 

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Ahmad Fahmi Fazli. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit