Skip to main content

45 pelajar program UMP-BJTU tajaan JPA berlepas ke China

SEPANG, 13 Februari 2023 - Seramai 45 orang pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiaotong University (BJTU) China berlepas ke China baru-baru ini bagi menyambung pengajian selama dua tahun di sana.

Para pelajar bidang kejuruteraan dalam pembangunan industri rel negara ini merupakan pelajar perintis bagi program kerjasama ijazah dual yang akan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Beijing setelah mengikuti pengajian selama dua setengah tahun di UMP.

Sesi pengajian Semester 1 di China akan bermula pada bulan Februari pada setiap tahun.

Daripada 45 orang pelajar tersebut, seramai sepuluh orang pelajar akan mengikuti jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, 20 orang pelajar dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan 15 orang pelajar lagi dalam jurusan Kejuruteraan Awam di BJTU.
 

45 pelajar program UMP-BJTU tajaan JPA berlepas ke China

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.

“UMP juga turut menghargai sokongan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia yang telah menyumbang sebanyak RMB100,000 atau RM65,000 kepada pelajar UMP hasil kerjasama dengan universiti dari China.

“Selain itu, UMP turut bekerjasama dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU),” ujarnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) turut hadir untuk bertemu dengan pelajar dan keluarga.

Beliau juga menyampaikan pesanan buat pelajar melalui taklimat yang dilaksanakan sebelum berlepas.

“Ambil peluang ini untuk belajar dan selami cara pemikiran masyarakat di sana sehingga mereka menjadi sebuah negara yang gah dalam bidang teknologi,” katanya.

Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya dan mengharapkan agar para pelajar terus cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
 

45 pelajar program UMP-BJTU tajaan JPA berlepas ke China

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Ekektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya dan Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab.

45 pelajar program UMP-BJTU tajaan JPA berlepas ke China

Selain China, program ijazah dual UMP hasil kerjasama dengan universiti di Jerman sejak 12 tahun lalu bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrik telah melahirkan ramai graduan yang kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Ini termasuklah Program Kejuruteraan Perniagaan bersama rakan baharu dari Mannheim University of Applied Sciences (HMA).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit