Akademi TVET Termaju anjur 6 program latihan kompetensi T-Cert perkasa pelajar tahun akhir UMPSA
PEKAN, 10 Mei 2026 – Akademi TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh pembangunan bakat teknikal berkemahiran tinggi melalui pelaksanaan enam program latihan kompetensi T-Cert yang berlangsung pada 9 dan 10 Mei 2026.
Program tersebut melibatkan kira-kira 120 orang pelajar tahun akhir daripada pelbagai fakulti teknikal di UMPSA dengan pelaksanaan disokong melalui kerjasama strategik bersama fakulti berkaitan yang menyalurkan pelajar mengikut bidang pengkhususan masing-masing.
Pendekatan ini memastikan padanan kompetensi yang lebih berfokus dan selaras dengan keperluan industri serta laluan kerjaya graduan.
Menurut Ketua Jabatan (Akademik dan Latihan), Akademi TVET Termaju, Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, program tersebut memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran teknikal berasaskan aplikasi industri sebenar melalui pendekatan latihan berstruktur dan hands-on.
“Latihan kompetensi T-Cert memperkukuh keupayaan pelajar menguasai kemahiran teknikal melalui pendedahan kepada operasi industri sebenar termasuk sistem kawalan, automasi dan pematuhan standard teknikal,” ujarnya.
Enam program yang dilaksanakan merangkumi pelbagai bidang teknikal dan industri antaranya Industrial Steam Boiler Operation & Regulatory Compliance, Theory to Practical with Hydraulic Bosch Rexroth, Bosch Rexroth Industry 4.0 Automation Systems – IndraWorks, PROFIBUS & RFID Integration, Electropneumatic Automation System & PLC Control, IWCF Drilling Well Control Level 1 dan QLASSIC Skill Series: Building Quality Assessment.

Kesemua latihan ini melibatkan penyertaan pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).
Pelaksanaan program ini turut menyokong Pelan Strategik UMPSA30 di bawah KPI3A(2) yang mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar tahun akhir mengikuti latihan kompetensi sebelum bergraduat.
Sementara itu, Dekan Akademi TVET Termaju, Datuk Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani berkata, inisiatif tersebut merupakan intervensi strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui penguasaan kemahiran berimpak industri.
“Akademi TVET Termaju komited memastikan pelajar bukan sahaja memahami teori, tetapi turut mampu menguasai aplikasi teknikal sebenar yang diperlukan industri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama rapat bersama fakulti adalah bagi memastikan penyaluran pelajar dibuat secara lebih tersusun dan berfokus mengikut bidang pengkhususan masing-masing bagi meningkatkan keberkesanan latihan kompetensi.

Sebagai kesinambungan kepada inisiatif tersebut, Akademi TVET Termaju akan melaksanakan siri kedua program pada 16 dan 17 Mei 2026 melibatkan empat lagi program kompetensi, diikuti siri ketiga pada 6 dan 7 Jun 2026 bagi memperluas liputan latihan kepada lebih ramai pelajar tahun akhir.
Pelaksanaan program T-Cert ini mencerminkan komitmen berterusan Akademi TVET Termaju dalam memperkukuh ekosistem latihan berasaskan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UMPSA melalui pendekatan kompetensi yang lebih praktikal, berfokus dan berimpak tinggi.
Disediakan Oleh: Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Akademi Tvet Termaju
- 34 views
Reports by: