Skip to main content

Jothi Letchumy terima biasiswa bakal sambung pengajian ke UK

PEKAN, 26 Julai 2021– Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Jothi Letchumy a/p Mahenda Kumar, 28, bakal ditawarkan menyambung pengajian di peringkat Sarjana (MREs/PhD) di Imperial College London, United Kingdom pada bulan Oktober depan setelah menerima biasiswa untuk sebahagian yuran serta elaun sara hidup daripada pihak  Imperial College London.

Manakala Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) pula akan menaja bayaran baki yuran pengajian beliau bagi menyambung pengajian nanti.

Menurut Jothi, tatkala menerima tawaran tersebut, perasaan gembira berbaur risau kerana mengenangkan kos pengajian yang begitu tinggi. 

Jothi Letchumy terima biasiswa bakal sambung pengajian ke UK

“Saya bukan dari keluarga yang senang. Ayah saya hanyalah seorang pesara kerajaan yang turut menanggung kos pengajian kakak saya dalam bidang perubatan dan juga adik saya yang masih mengikuti pengajian di peringkat diploma.

“Saya bersyukur kerana berjaya melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana muda dan sarjana sebelum ini dengan kos pengajian diperoleh melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya yang telah kehilangan ibu tersayang sejak berusia 15 tahun lagi.

Tambahnya, beliau amat berterima kasih kepada syarikat-syarikat swasta yang turut menyumbangkan dana untuk pembiayaannya bagi menyambung pengajian ini terutamanya kepada Ahli Parlimen Bangi, Yang Berhormat Dr. Ong Kian Ming.  

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah UMP merangkap penyelia saya di peringkat pengajian sarjana (MSc) iaitu Dr. Anwar P.P. Abdul Majeed yang banyak memberi sokongan dan membantu sepanjang pengajian.

Jothi Letchumy terima biasiswa bakal sambung pengajian ke UK

“Ini termasuklah berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak untuk mengumpulkan dana bagi pembiayaan pengajian saya,” katanya.

Jothi ditawarkan menyambung pengajian selama empat tahun bersama pihak British Heart Foundation dan National Heart and Lung Institute (NHLI) Imperial College London, United Kingdom. 

Program ini melibatkan Master of Research yang akan dijalankan selama setahun dalam bidang Perubatan Jantung dan Vaskular.

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, beliau tidak menyangka impiannya bakal menjadi kenyataan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam kaedah mendiagnosis penyakit kardiovaskular dengan lebih maju.

Tambahnya, kaedah dan teknologi  tersebut ini amat bermanfaat untuk negara dalam  mengubati penyakit kardiovaskular melalui Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dan Model  Deep Learning.

“Saya akan mengambil peluang ini dengan sebaiknya untuk meningkatkan tahap sistem perubatan di Malaysia melalui penggunaan teknologi yang lebih canggih. 

“Doakan agar saya berjaya dalam bidang ini untuk berbakti kepada negara kelak,” ujarnya.

Penyakit Kardiovaskular adalah suatu kondisi iaitu terdapat gangguan pada jantung dan pembuluh darah yang kini semakin meningkat dan banyak meragut nyawa manusia. 

Beliau baharu sahaja menamatkan pengajian sarjana (Msc) Mod Penyelidikan mengenai Deep Learning.

Sepanjang lima tahun mengikuti pengajian di UMP, beliau juga aktif dalam aktiviti penyelidikan dan sering memenangi anugerah dalam pertandingan penyelidikan seperti Robocon 2018, Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2018, 2019 dan 2020 serta The Annual International Festival of Innovation on Green Technology (i-Finog) 2020.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris