Skip to main content
Selamat Berjuang Atlet Olahraga Negara  Acara Jalan Kaki 20 KM Sukan SEA Hanoi Vietnam.  Nurul Ashikin Hussin Mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri  Warga UMP dan Seluruh Rakyat Malaysia Mendoakan Kejayaan Anda.

Nurul Ashikin mahasiswa UMP galas cabaran dalam Sukan SEA Hanoi

KUANTAN, 16 Mei 2022 - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Nurul Ashikin Hussin yang merupakan atlet olahraga jalan kaki 20 km berhasrat membawa pulang pingat dalam Temasya Sukan SEA Hanoi Vietnam yang berlangsung mulai 12 hingga 23 Mei 2022 ini. 

Beliau mengharapkan doa daripada seluruh warga UMP dan rakyat Malaysia agar dapat membawa pulang kejayaan serta mengibarkan jalur gemilang di Hanoi. 

Nurul Ashikin hadir bersama jurulatih Muhammad Fauzi Sulaiman dalam program meraikan atlet Sukan SEA anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan baru-baru ini.  

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Rusllim Mohamed dan Pengarah, Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Ismail sebelum berangkat ke Hanoi esok hari. 

Menurut Profesor Madya Dr. Rusllim, warga UMP amat berbangga dengan pencapaian yang dipamerkan oleh Nurul Ashikin yang memberikan sepenuh komitmen dalam misi menjulang nama negara.

“Dalam menggalas cabaran ini, universiti sentiasa memberi sokongan dan peka terhadap kebajikan dalam kalangan atlet UMP bagi memastikan atlet beraksi pada tahap terbaik,” katanya yang hadir menyampaikan wang saku sebagai tanda sokongan moral pihak universiti. 

Nurul Ashikin mahasiswa UMP galas cabaran dalam Sukan SEA Hanoi

Beliau mengharapkan Nurul Ashikin terus bersemangat dalam menjulang nama negara di temasya terbesar sukan Asia Tenggara itu. 

Bagi Nurul Ashikin yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, debaran pasti ada namun semangatnya membara untuk membawa pulang pingat buat negara. 

“Saya berharap pengorbanan selama setahun dalam memberi tumpuan terhadap latihan dan tidak bertemu keluarga ini berbaloi buat saya,” ujar anak bongsu daripada enam beradik ini. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih buat UMP yang banyak membantu memudahkan urusan pengajiannya dan dorongan jurulatih serta sokongan kuat daripada keluarga dalam merealisasikan impiannya untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA kali ini. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Konunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit