Skip to main content

Pelajar UMP disaran patuh SOP kembali ke kampus

KUANTAN, 23 Februari 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menasihatkan pelajar agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setelah diberi kebenaran untuk kembali ke kampus secara fizikal. 

Mereka ini merupakan pelajar yang akan menjalani aktiviti yang melibatkan kerja praktikal, makmal, latihan amali, bengkel dan peralatan khas membabitkan enam kategori yang dibenarkan berdasarkan pengumuman pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini. 

Kumpulan ini melibatkan semua pelajar Program Teknologi termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi Semester II, Sesi Akademik 2020/2021; semua pelajar Program Kerjasama UMP-Universiti Jerman termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi Semester II, Sesi Akademik 2020/2021; pelajar Tahun 3 Program Teknologi Kejuruteraan; pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Teknologi Industri; dan pelajar Tahun 3 Fakulti Sains dan Teknologi Industri.

Turut diarah pulang ke kampus ialah pelajar tahun akhir Kolej Kejuruteraan; pelajar tahun akhir (Tahun 2, Sesi Akademik 2020/2021), program Diploma; dan pelajar baharu antarabangsa kemasukan Sesi Akademik 2020/2021 (kecuali dari United Kingdom).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumi), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga Pengerusi Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) berkata, dijangkakan seramai 4,028 pelajar terlibat dibenarkan masuk kampus secara berjadual bermula 6 hingga 21 Mac 2021 termasuk pelajar dari Borneo.

“UMP juga membenarkan pelajar yang tidak mempunyai akses internet dan yang tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian (online) untuk dipertimbangkan kembali ke kampus secara fizikal. 

“Kehadiran semula pelajar ini menuntut kita untuk lebih berwaspada bagi memastikan kampus UMP bebas dari ancaman pandemik COVID-19. 

“Walau bagaimanapun, aktiviti PdP masih akan dijalankan melalui platform dalam talian,” katanya. 

Jelasnya lagi, cabaran ini perlu turut digalas pihak pengurusan UMP bersama-sama residen pelajar dan pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk bergerak bersama dalam memudah cara urusan-urusan berkaitan kesejahteraan kampus, kebajikan mahasiswa, pematuhan SOP dan sebagainya.

Ujarnya, beberapa sesi perbincangan di peringkat jawatankuasa telah diadakan, dan UMP menawarkan kemudahan residen kepada semua pelajar termasuk pelajar luar kampus untuk kebajikan pelajar.

“Ini termasuklah pelajar kampus luar yang telah mempunyai komitmen kontrak sewaan atau komitmen-komitmen lain. UMP akan membantu menyediakan kemudahan residen pelajar percuma sepanjang tempoh isolasi. 

“Mereka akan dibenarkan memohon untuk balik ke kediaman sewa masing-masing namun tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan pihak UMP.

“Semua pelajar dimestikan menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan dipakaikan gelang mengikut kategori tahap kesihatan bagi tujuan pemantauan dalam tempoh isolasi selama sepuluh hari di residen pelajar yang telah ditetapkan,” ujarnya. 

Profesor Dato’ Dr. Yuserrie berkata pihaknya juga menubuhkan Jawatan Kuasa Pemantau Isolasi bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sepanjang tempoh isolasi. 

Selain itu, pihaknya turut akan mengenal pasti bantuan perkhidmatan bas bagi pelajar yang berkeperluan termasuk kepada semua pelajar Borneo dan pelajar antarabangsa dari destinasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UMP yang disediakan dengan kerjasama Yayasan UMP. 

Pihak Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) juga telah menghasilkan buku Garis Panduan Kemasukan Pelajar Ke Kampus bagi rujukan pelajar dan pelbagai pihak berkaitan.

Beliau menghargai komitmen para petugas keselamatan dan kesihatan daripada Pusat Kesihatan UMP (PKU), Bahagian Keselamatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Pejabat Naib Canselor dan pihak Yayasan UMP yang berganding bahu memastikan semua urusan berjalan lancar demi memastikan kampus sentiasa selamat dan bebas daripada penularan COVID-19.

Bagi pelajar yang akan kembali ke kampus mereka boleh mendapatkan surat kebenaran merentas negeri secara dalam talian menerusi Sistem Kembali ke Kampus dalam e-Community mulai 8 hingga 26 Februari 2021 untuk dikemukakan kepada pihak penguasa.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit