Skip to main content

Pelajar UMP guna aplikasi Adab@UMP tunai kupon Food@Campus

KUANTAN, 29 Disember 2021 – Seiring dengan hasrat universiti ke arah kampus digital, pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal mengadaptasi kemudahan UMP Kasih iaitu Kupon Makan untuk pelajar yang kesempitan menggunakan aplikasi Adab@UMP bagi membolehkan mereka mendapatkan makanan secara percuma bagi yang layak di kafeteria kampus. 

Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP. 

Selain UMP Kasih adalah UMP Pek Kasih Sayang, UMP Campus Pantry, UMP Kuarantin, UMP: YAPEM, UMP Iftar, UMP Traveller, UMP Food For All dan UMP Bakul Prihatin Yayasan. 

Dijangkakan lebih 4,000 pelajar UMP akan menerima manfaat melalui program sumbangan Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun hadapan. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, kemudahan ini menyasarkan pelajar dari golongan B40 dan kurang berkemampuan. 

Pelajar UMP guna aplikasi Adab@UMP tunai kupon Food@Campus

“Pelajar yang mempunyai masalah kewangan sehingga kesempitan atau ketiadaan wang untuk makan dengan alasan yang munasabah juga layak menerima kemudahan ini. 

“Agihan baucar ini melibatkan peruntukan berjumlah  RM260,000  dengan lebih 56 ribu kupon sebagai tanda keprihatinan  universiti bagi mengurangkan beban pelajar universiti.

“Ini terutamanya yang terkesan akibat pendemik Covid-19 dan mereka yang terjejas dengan musibah banjir baru-baru ini,” katanya yang hadir melancarkan aplikasi ini. 

Pelajar UMP guna aplikasi Adab@UMP tunai kupon Food@Campus

Dalam pada itu, Yayasan UMP turut menyediakan bantuan Khas Covid-19,  kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet untuk meringankan beban pelajar dalam meneruskan pengajian norma baharu. 

Manakala cakna dengan kebajikan pelajar, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut menyediakan khidmat e-Kaunseling dan lain-lain bagi membantu pelajar agar tidak menjejaskan pengajian mereka.

Program turut dihadiri Dekan Perkhidmatan Pelajar, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman dan Pengurus Kanan JHEP, Haryani Abdullah. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit