Skip to main content

Yayasan UMP sumbang komputer riba percuma buat pelajar

PEKAN, 16 April 2021 - Yayasan UMP menyumbangkan sebanyak 70 unit komputer riba kepada pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memerlukan bagi meringankan beban mereka dalam mengadaptasi sesi pembelajaran secara dalam talian. 

Serahan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah (UMP), Tan Sri Dato’ Sri. Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman bertempat di Perpustakaan UMP Pekan baru-baru ini.

Dalam ucapannya beliau berkata, sumbangan komputer riba ini merupakan inisiatif Yayasan UMP berdasarkan kerjasama sumbangan dari pihak-pihak yang tertentu bagi membantu meringankan pelajar yang memerlukan.

“Terima kasih kepada semua pihak penyumbang yang sentiasa menyokong usaha UMP untuk membantu golongan yang memerlukan. 

“Pemberian komputer riba ini merupakan keperluan dalam pembelajaran dengan norma baharu sekarang yang menjadi amalan buat mereka. 

“Dengan situasi sekarang, komputer riba bukan melambangkan kemewahan, namun ia merupakan satu keperluan kepada setiap pelajar,” katanya.

Beliau mengharapkan semua pelajar dapat bersungguh-sungguh dalam pengajian dan mudah-mudahan mereka memperoleh kecemerlangan. 

“Pihak Yayasan UMP sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar UMP dan masyarakat setempat selain mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP, Profesor Dato' Dr. Yusserrie Zainuddin.

Menurut salah seorang penerima, Siti Najihah Ikhsan, 20, yang merupakan anak kelima dari enam beradik, beliau melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima.

Beliau yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik (Program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) berkata dengan pendapatan ayahnya sebagai seorang pekebun, tambahan pula sejak arwah ibu meninggal dunia, keperluan kewangan menjadi kekangan.

“Kini perbelanjaan saya turut dibantu oleh kakak sehinggakan komputer juga menggunakan komputer riba milik kakaknya semasa beliau menuntut di universiti dahulu. 

“Walaupun komputer tersebut telah berusia lebih enam tahun tetapi masih boleh digunakan walaupun memorinya agak perlahan dan tidak dapat menyokong sesetengah perisian.

“Dengan adanya komputer riba baharu ini dapat memberikan semangat buat saya untuk meneruskan pengajian,” katanya. 

Beliau menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat terutamanya Yayasan UMP yang sentiasa prihatin dengan permasalah yang pelajar alami.

Semua penerima  menerima komputer riba berjenama Lenovo dan kriteria penerima adalah berdasarkan   penilaian yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Penilai Zakat UMP di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris