Skip to main content

Kolaborasi UMP dan UMW tanam 2000 pokok bakau di Cherating

CHERATING, 13 MEI 2023 – Dengan sasaran untuk menanam sebanyak 300,000 pokok bakau menjelang 2023, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pucuk Hijau (UGS) UMW, Kumpulan UMW meneruskan aktiviti penanamannya di Cherating, Kuantan.  

Dengan kerjasama UMW Toyota Motor dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, Inisiatif Pucuk Hijau UMW merupakan satu usaha di bawah kumpulan untuk menangani isu pelepasan gas rumah hijau (GHG).  

Inisiatif ini juga mengukuhkan komitmen kumpulan ke arah melestarikan alam sekitar dan menyokong misi kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus neutral karbon menjelang tahun 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang juga merupakan ikrar Kumpulan UMW di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian UMW.

Kolaborasi UMP dan UMW tanam 2000 pokok bakau di Cherating

Program itu melibatkan lebih 200 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terdiri daripada pelajar menyertai program penanaman bakau di Cherating ini. 

Program turut melibatkan pengurusan UMW, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP dan 30 kakitangan UMW dari Kuantan.
 
Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato' Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP dan Ketua Pegawai Mobiliti dan Inovasi/Presiden Aeroangkasa, UMW Holdings Berhad, Dato' Abdul Rashid Musa. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
 
Menurut Dato’ Abdul Rashid, sebanyak 2,000 pokok bakau telah berjaya ditanam di Pusat Kelip-kelip Cherating yang merupakan tambahan kepada 2,600 pokok bakau yang telah ditanam melalui Inisiatif Pucuk Hijau UMW pada tahun lepas.
 
“Kami amat berbesar hati kerana UMP turut serta dalam program pada kali ini untuk bersama memelihara kehijauan negara.  

“Walaupun Kumpulan UMW telah terlibat dalam penanaman pokok sebelum ini, kami mempertingkatkan lagi usaha ni dengan lebih intensif melalui Inisiatif Pucuk Hijau UMW ini, dengan fokus kepada penanaman pokok bakau.
 
“Sehingga akhir bulan Mac 2023, Kumpulan UMW telah berjaya menanam sebanyak 195,200 pokok bakau di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran 300,000 pokok bakau menjelang 2023.  
 
“Kami memilih untuk melabur dalam inisiatif ini kerana hutan bakau terkenal dengan kecekapan penyerapan karbon yang tinggi dan sangat penting kepada ekosistem negara. 

“Inisiatif ini juga selaras dengan Kempen 100 juta Penanaman Pokok Kebangsaan Kerajaan Malaysia 2021–2025 yang dilancarkan pada Januari 2021,” ujar beliau.
 
Beliau menambah, pokok bakau sangat penting untuk ekosistem kita kerana ia dapat melindungi pantai daripada hakisan, ribut, ancaman perubahan iklim dan membantu pembiakan hidupan marin. 

“Pokok bakau juga mampu menyerap karbon atmosfera lebih daripada lima kali ganda sehektar berbanding hutan tropika,” ujar beliau. 

Kolaborasi UMP dan UMW tanam 2000 pokok bakau di Cherating

 
Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, Program Inisiatif Pucuk Hijau ini merupakan perpaduan antara UMP dan UMW, iaitu dua entiti yang berkomitmen untuk menyumbang kepada pembangunan mampan dan melindungi keindahan alam sekitar.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan kepada UMP.

Ujarnya, program ini bukan sahaja aktiviti penanaman malah ia dapat meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup. 

“Sudah pastinya ia akan memberi pengalaman baharu kepada pelajar UMP dan menghargai serta menjaga alam sekitar.

“Saya berharap kita dapat bersatu tenaga, tanamkan nilai-nilai kelestarian dalam diri kita sendiri, dan sebarkan kesedaran tentang perlunya menjaga dan merawat alam sekitar kepada komuniti di sekeliling kita,” katanya.

UMP giat menjalankan program bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.
 
Usaha ini seiring dengan hasrat UMP untuk turut membabitkan bukan sahaja warga kampus malahan komuniti setempat untuk sama-sama mencapai SDG dengan mengadakan pelbagai program lestari serta menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit