Skip to main content

Anugerah Cendekia UMP iktiraf penyelidikan dan kecemerlangan akademia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah  yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) bercemar duli mengurniakan Anugerah Cendekia Bitara (ACB) dan Anugerah Akademik Cemerlang (AAU) kepada seramai 94 pensyarah dan staf cemerlang dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran sempena Majlis Anugerah Cendekia Bitara  yang berlangsung hari ini di Hotel Zenith Kuantan.

  

Berangkat sama Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj. Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ ts Dr Daing Nasir Ibrahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGiftUMP, Dato’ Mohd. Nizar Dato’ Sri Najib.

 

Majlis menyaksikan seramai 67 penerima bagi kategori jurnal,7 penerima bagi kategori produk penyelidikan, 5 penerima kategori paten, 2 kumpulan penerima bagi kategori kualiti dan kreativiti serta masing-masing seorang penerima kategori tokoh, buku dan geran antarabangsa. Manakala pada masa yang sama, acara ini turut menampilkan satu lagi bentuk pengiktirafan iaitu Anugerah Akademik Universiti (AAU) yang dikhususkan kepada warga akademia UMP yang membuktikan ketokohan dan kewibawaan dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran.

 

Dalam majlis ini Tengku Abdullah bertitah penganjuran acara ini sebagai medan pengiktirafan yang paling berprestij terhadap kecemerlangan pencapaian para staf akademik dan penyelidik di UMP. 

 

”Sejak pengajuran edisi sulungnya pada tahun 2008 hinggalah edisi kesepuluhnya pada malam ini, saya dapat melihat peningkatan yang signifikan dalam konteks kualiti pencapaian para staf akademik dan penyelidik dalam lapangan penyelidikan, inovasi, pengkomersialan, penerbitan dan kreativiti,” titah baginda.

 

Dalam memperkatakan soal keunggulan penyelidikan dan inovasi sebagai antara kayu ukur kecemerlangan utama universiti ini, baginda turut tertarik untuk mengemukakan beberapa pandangan mengenai halatuju strategik UMP dalam konteks peranannya sebagai Universiti Komuniti dan agen transformasi sosioekonomi antaranya slogan Memasyarakatkan Teknologi yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 perlu diterjemahkan secara intensif melalui projek dan inisiatif yang benar-benar memberi impak kepada kumpulan sasaran secara langsung.

 

Manakala dalam konteks Kuala Pahang Facelift khususnya, tumpuan turut diberikan terhadap transformasi fizikal, rumah-rumah kediaman, masyarakat setempat di Kampung Kuala Pahang dengan cat baru, sumbangan perabot dan kesedaran kebersihan bagi merealisasikan ungkapan Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku dalam erti kata yang sebenarnya.

 

UMP telah memulakan gerak kerja awal bagi pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 yang memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, STEM dan Bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa Universiti ini. Malahan baginda turut memperkenankan nama Kuala Pahang House atau singkatannya KP House kepada sebuah fasiliti yang sedang dibangunkan oleh UMP di Kampung Kuala Pahang sebagai pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang.

 

Sementara itu Prof Dato ts Dr. Daing Nasir berkata, edisi kesepuluh ACB yang istimewa ini dilatari dengan tema UMP 4.0: Redesigning The Future. Tema ini mendukung komitmen UMP untuk muncul sebagai sebuah universiti gemilang dengan acuannya yang tersendiri, pendekatan strategik yang unik dan keterampilan yang berani berbeza.

 

Ianya mencatatkan sebanyak 490 pencalonan bagi semua kategori iaitu peningkatan 22 peratus berbanding 403 pencalonan bagi edisi Anugerah Cendekia Bitara 2018. Kategori jurnal merekodkan sejumlah 427 pencalonan iaitu yang tertinggi yang mewakili 87 peratus daripada keseluruhan pencalonan bagi Anugerah Cendekia Bitara 2017.  AAU pada kali ini juga menampilkan kategori Anugerah Ahli Akademik Harapan yang bertujuan mengiktiraf ahli akademik muda UMP yang mempamerkan bakat inovatif lagi cemerlang dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran.

 

Berkongsi keunggulan penyelidikan dan inovasi UMP, Prof. Dato’ Sri ts. Dr. Daing Nasir berkata, UMP berjaya mencapai penarafan cemerlang Lima Bintang bagi tiga sistem penilaian di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Malaysia Research Assessment (MyRA) 2016, Malaysia Higher Education Institutions Rating System (SETARA) 2017 dan Ministry of Higher Education Star Rating (MyMoheS) 2017. Selain itu, Jabatan Audit Negara telah turut memperakukan penarafan Lima Bintang kepada UMP dengan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntibiliti Tahun 2016.

 

UMP juga meraikan seorang tokoh kesusasteraan Melayu iaitu Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta Ombudsman Universiti Sains  Malaysia (USM) yang telah menyumbang dalam frasa awal Cendekia Bitara ini  dengan khidmat kepakaran beliau. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi