Skip to main content

Program Semarak Ramadan Menteri KPT beramah mesra bersama pelajar UMPSA

GAMBANG,  4 April 2024 - Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meneruskan siri jelajah program Semarak Ramadan KPT dengan bertandang ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini. 

Ketibaan beliau disambut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan tertinggi serta kepimpinan mahasiswa universiti. 

Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir bersempena Majlis Berbuka Puasa Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama 2,000 pelajar UMPSA.  

Program Semarak Ramadan Menteri KPT beramah mesra bersama pelajar UMPSA

Beliau sempat beramah mesra bersama para pelajar universiti sebelum majlis berbuka puasa dan diikuti solat Maghrib, Isyak serta sunat tarawih secara berjemaah. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, usai ibadah solat, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut berkesempatan bermoreh bersama warga UMPSA dan menyertai acara memasak dodol dan wajik yang diadakan secara bergotong-royong bersama warga UMPSA. 

Program Semarak Ramadan Menteri KPT beramah mesra bersama pelajar UMPSA

Turut berlangsung acara pelepasan kempen Keselamatan Jalan Raya 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' UMPSA bersempena musim pulang ke kampung pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba. 

Kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Yayasan UMPSA dan Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA itu merangkumi taklimat keselamatan, pemberian vest dan hebahan keselamatan serta sumbangan petrol kepada 250 biji motor dan 40 buah kereta pelajar. 

Program Semarak Ramadan KPT merupakan siri jelajah bulan Ramadan Menteri KPT ke Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan pengisiannya dipenuhi aktiviti ibadah sambil menyantuni barisan pengurusan, pentadbir, tenaga pengajar, serta para pelajar.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Naqiah Puaad