Skip to main content
UMP E-Newsletter

Kampus Hijau

FRIM serah 1,000 anak pokok hutan untuk kampus hijau lestari

BIL. 28 APR 2019

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menyerahkan kira-kira 1,000 anak pokok daripada 24 spesis pokok antaranya Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas,  Ketapang, Jelutong, Kulim, Merbau Karas dan lain-lain bagi menjayakan projek kerjasama dan perkongsian kepakaran dalam penanaman pokok hutan di sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan pada 24 April 2019 yang lalu.

Majlis penyerahan disampaikan Ketua Program Teknologi Biomass, FRIM Dr. Wan Asma Ibrahim kepada Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat & Kualiti), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff di UMP Pekan.

BIL. 28 APR 2019

Menurut Profesor Dato’ Dr. Mashitah, tekstur tanah di UMP Pekan ini terdiri daripada tanah terganggu (Dld) dan kerjasama ini dapat menyatukan kepakaran antara UMP dan FRIM untuk berganding bahu dalam pembangunan landskap UMP Pekan dan persekitarannya agar  lebih kondusif.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pokok bagi mengekalkan tahap kehijauan, kualiti landskap dan alam sekitar yang sihat, selamat, indah dan kondusif di universiti ini,” katanya. 

Seramai 20 orang sukarelawan dari UMP dan FRIM yang menyertai aktiviti penanaman pokok tersebut  yang bermula seawal jam 10 pagi. 

Hadir sama Ketua Program Inkubasi & Komersialisasi, Dr. Fadhilah Zainudin, Pengawai Penyelidik FRIM, Dr. Wan Rasidah Kadir, Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti, Hazlina Faizal  dan  Eksekutif Unit Landskap,  Jabatan Penyelidikan & Inovasi. Noorafizah Abd Raffar.


MyGift

Perpustakaan mini di Pusat Sehenti Komuniti KP House pupuk budaya minat membaca

BIL. 28 APR 2019

Penubuhan perpustakaan mini hasil kolaborasi strategik pihak Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berjaya mengumpulkan buku termasuk sumbangan orang ramai dan Program Pinjaman Program Pinjaman Buku Berkelompok oleh Perpustakaan Awam Daerah Pekan menjadikan Pusat Sehenti Komuniti KP House (KP House) yang dibangunkan UMP ini terus menjadi tumpuan masyarakat di Kuala Pahang, Pekan. 

Program mendapat kerjasama pihak Persatuan Wanita UMP (Matahari) yang menyumbang kemudahan rak-rak buku serta sokongan pihak Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang dalam memupuk budaya membaca dan mencintai ilmu pengetahuan.

Majlis menyaksikan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff hadir menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Pustakawan, Hajah Siti Aishah Ghani, Setiausaha Matahari, Mimi Rabita Abdul Wahit dan wakil Perpustakaan Awam Daerah Pekan, Haji Hisyam Hashim dan Muhammad Huzaimi Hashim pada 24 April 2019 yang lalu. 

Turut hadir, Ketua Kampung Kuala Pahang, Hassan Mohamed Sukor.

BIL. 28 APR 2019

Menurut Profesor Dato’ Dr. Mashitah, pembangunan KP House merupakan kesinambungan Program Facelift D’Kuala yang bermula sejak tahun 2017 melibatkan 118 buah rumah dan ia merupakan salah satu inisiatif di bawah MyGift UMP dalam memasyarakatkan kampus.

“Rumah ini dahulunya merupakan sebuah kuaters guru yang terbiar dan telah melalui proses transformasi menyeluruh bagi menyediakan UMP dengan satu Living Lab sekaligus memberikan nilai tambah kepada komuniti di Kuala Pahang sebagai Pusat Sehenti Komuniti KP House.

“Bermula dengan Program Bridge of Lov @KP House yang dijalankan mahasiswa Insmartive UMP pada awalnya disertai seramai 32 orang pelajar sekolah rendah dan menengah berjaya mendekatkan diri pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan. 

“Program Tuisyen Komuniti juga mendapat sambutan di KP House. Kita hanya menyasarkan seramai 30 orang pelajar namun agak memeranjatkan apabila jumlah bertambah dan sehingga kini seramai 120 orang pelajar telah berdaftar mengikuti program ini,” katanya.
 
Program yang dijalankan pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat itu bermula jam 8.00 malam hingga 10.00 malam melibatkan aktiviti ulang kaji pelajaran dengan bantuan tutor yang terdiri daripada mahasiswa UMP. 

Ia turut menyelitkan program softskills bagi membantu melahirkan modal insan yang lebih berketerampilan.
 
Beliau mengharapkan dengan adanya mini perpustakaan ini akan memberi semangat buat anak-anak dan golongan muda untuk menimba ilmu. 

Usaha ini adalah seiring dengan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik pada tahun lalu ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030. 

Selain itu, pelbagai program bersama komuniti turut dijalankan termasuklah Kelas Mengaji, Kelas Fiqh Wanita, Program Keibubapaan dan Taklimat Kebersihan, Pemeriksaan Kesihatan dan Tuisyen Matematik Tambahan.


Penyelidikan dan Inovasi

Prof. Madya Dr. Arun Gupta hasilkan produk krim anti penuaan daripada keratin bulu ayam

BIL. 28 APR 2019

Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu Profesor Madya Dr. Arun Gupta daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) berjaya menghasilkan produk penjagaan kulit berjenama Keraglow seperti krim anti penuaan, pelembap, serum, syampu, dan rawatan rambut daripada keratin bulu ayam.

Sebahagian besar dari produk pelembap penjagaan kulit untuk kelihatan lebih muda dan kurang tanda penuaan ataupun kurang kesan akibat matahari dan pencemaran udara di pasaran menggunakan ekstrak plasenta dan bulu biri-biri.

Namun demikian, menurut Profesor Madya Dr. Arun, pihaknya mendapati kos mengekstrak keratin daripada bulu biri-biri agak mahal. 

BIL. 28 APR 2019

“Memandangkan di Malaysia terdapat banyak industri penyembelihan ayam dan hampir empat juta tan setiap tahun bulu ayam menjadi bahan buangan yang tidak dikomersialkan, memberi peluang pihaknya menjalankan penyelidikan sejak tahun 2019.

“Kami mendapati mendapati bulu ayam terdiri daripada 91 peratus protein, lapan peratus air dan satu peratus protein keratin yang mengandungi sulfur dan berstruktur berserat. 

“Bulu ayam mempunyai keratin yang istimewa dan mempunyai 20 jenis protein. Protein yang terhasil dirawat beberapa hari menggunakan kaedah dialisis untuk menyingkirkan bahan yang tidak sepatutnya hadir dalam penghasilan kosmetik,” katanya.

Beliau berkata, menerusi anak syarikat yang dikenali sebagai UMP Keraglow Sdn. Bhd. telah mengkomersialkan keratin daripada bulu ayam dan telah dianugerahkan QB3 Startup Acknowledgement Certificate pada Anugerah Inovasi Bioekonomi 2017.

“Pada masa ini, pihaknya telah mengeluarkan 350 liter keratin setiap hari dan kapasitinya dijangka meningkat kepada 1,000 liter sehari dalam tempoh dua tahun lagi. 

BIL. 28 APR 2019

“Setakat ini kita juga telah menerima permintaan daripada luar negara dan merancang menjalankan kerjasama bersama rakan strategik lain atau menjadikannya sebagai francais.

“Selain itu, selama sepuluh tahun, penyelidikan produk ini juga telah didaftarkan paten di Amerika Syarikat dan Malaysia bagi kaedah pengekstrakkan dan pembangunan produk kosmetik dan farmaseutikal. 

“UMP Keraglow Sdn. Bhd. juga merupakan kilang keratin halal pertama di Malaysia yang membangunkan pelbagai produk kosmetik serta farmaseutikal daripadanya," katanya.

Penyelidikan turut melibatkan siswazah antarabangsa, Basma Yahya  Alashwal (Yaman), Mohamed Saad Bala Husain (Sudan),  Triveni Soubam (India) dan mahasiswa UMP dari Malaysia, Vanessa Alberto dan Liyana Maryam Madzelan. 

Penyelidikan ini juga diiktiraf apabila meraih pingat emas dan anugerah khas pada Ekspo Reka Cipta dan Produk Baharu (INPEX) di Pittsburg, Amerika Syarikat, anugerah khas dan pingat emas di Pameran Teknologi Malaysia 2018 dan Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) di UMP pada 2017.


Penyelidikan dan Inovasi

UMP galak inovasi teknologi hijau, IFINOG hasil 338 ciptaan baharu

BIL. 28 APR 2019

Oleh: NAUWAR ALI, WARTAWAN KELAB MEDIA MASSA UMP DAN NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH

Program International Festival of Innovation of Green Technology (IFINOG) dan Innovation, Invention, Design, Exposition (IDEAS) 2019 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya menyaksikan sebanyak 339 ciptaan baharu yang dipertandingkan termasuk penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi dan ahli akademik dalam dan luar negara termasuklah Indonesia, Sudan, Kazakhstan, Jerman dan India pada 21 April 2019.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, IFinog merupakan satu platform yang disediakan untuk para pelajar sekolah, mahasiswa mahupun penyelidik untuk mempamerkan hasil inovasi mereka yang berteraskan teknologi hijau.

“Program ini dapat menghasilkan dan mengasah bakat kreativiti dan inovasi peserta melalui pertandingan inovasi dan kreativiti di samping memupuk semangat daya saing dan inovasi lestari dalam kalangan mahasiswa. 

“Ia juga memberi impak dan manfaat secara terus kepada komuniti dan industri melalui idea-idea atau pemikiran di luar kotak,” katanya yang hadir pada majlis penutup yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang pada 21 April 2019 yang lalu.

Turut hadir, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Dato’ Ishak  Mokhtar, Pengerusi IFINOG dan IDEAS 2019, Abdul Syukor Abd Razak, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Presiden Persatuan Saintis Muda Indonesia, Deni Irawan dan, Pengarah IFINOG 2019, Muhammad Taufiq A. Rahman.

Menurut Abdul Syukor Abd Razak, pada kali ini UMP buat pertama kalinya juga memperkenalkan IDEAS yang merupakan satu pertandingan yang berorientasikan VIVA yang mana peserta untuk kategori ini perlu membentangkan idea mereka tentang bagaimana untuk menjadikan bumi ini lebih baik untuk didiami.

Program yang dianjurkan Kelab Eco Green Technology Innovation Society (Eco-Tech) ini turut memberi peluang sukarelawan UMP menimba pengalaman dalam penganjuran peringkat antarabangsa terutamanya dalam menyerlahkan bakat dan kemahiran mengurus serta kepimpinan. 

Pertandingan menyaksikan sebanyak 26 Anugerah Khas disampaikan kepada pemenang selain daripada piala pusingan, pingat dan wang tunai untuk kategori IDEAS bagi penyertaan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan ahli akademik.

Anugerah UMP Ecopest Green Technology dimenangi mahasiswa UMP, Nurul Natasha Mamat dengan inovasinya ‘Waste to Wealth: Sustainable Chemical & Fuel From Municipal Waste’ dan Anugerah Naib Canselor berjaya dibawa pulang oleh Ibrahim Mohammed Abdullah al-Qadri dengan inovasi ‘Evaluation of Orthosiphon Stamineus Polyphenol-rich Microcapsole’. 

Anugerah Terbaik IFINOG (Best of the Best) dinobatkan buat Dr. Azilah Ajit@Abd Aziz dengan inovasi yang bertajuk ‘Novel Approach to the Detection of Adultterants in Malaysian Stingless Bee Honey'. Anugerah Terbaik Saintis Muda dimenangi Universiti Sumatera Utara (Indonesia) dan Anugerah Terbaik Idea dimenangi oleh Maahad Tahfiz Pahang.  

Turut menang pingat emas ialah projek Wireless Worldwide Harmonised Light Vehicle Procedure (WLTP) daripada Karlsruhe University of Applied Sciences (Jerman), SRM Institute of Science and Technology (India) dengan produk ‘Green Technology Solar Paints’ dan Eurasian National University (Kazakhstan) dengan Inovasi ‘Virtual Biociggarate’s.

Pelbagai produk inovasi yang kreatif dan menakjubkan dengan lebih 100 produk daripada pelajar sekolah. 

Antara pemenang pingat emas diraih SJKT Simpang Lima yang berkolaborasi dengan Little Scientist Club Tadika Manja Pintar dengan inovasi mereka ‘Low Cost Organic Enricher’ dan pada peringkat sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin dengan inovasi ‘Charica + Bio Larvicide’. 

Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut raih emas dengan hasil inovasi mereka iaitu ‘Characterization of Dolomite with Different Percentage of Fly Ash Replacement as Alkali Activated Materials using Synchrotron’.


Pengurusan Ilmu

Dr. Rashidi Abbas kupas buku dalam Program Sharing@BookCafe

BIL. 28 APR 2019

Oleh: NOORUL FARINA ARIFIN, PERPUSTAKAAN UMP

Penerima Anugerah Buku Negara 2019 bagi buku umum dalam kategori pendidikan iaitu Dr. Rashidi Abbas yang merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi pengalaman menerusi kupasan buku beliau bertajuk 'Pendidikan Tahfiz dan Kemahiran Insaniah' dalam Program Sharing@BookCafe anjuran Perpustakaan pada 18 April 2019 yang lalu. 

Dengan slogan ‘With Knowledge We Lead’ program ini telah ditransformasikan pihak Perpustakaan UMP sebagai menyokong Kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030 seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasa aktiviti membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan, Dzull Zabarrod Ahmad, program Sharing@BookCafe ini adalah sebagai salah satu inisiatif bagi menggerakkan aktiviti galakan membaca dalam kalangan warga UMP.

BIL. 28 APR 2019

“Sesi berlangsung selama sejam ini membawa konsep santai dan selesa bagi menarik minat pengguna perpustakaan dan warga UMP mengikuti aktiviti pengisian ilmiah dan informatif,” katanya. 

Beliau mengharapkan semoga lebih ramai penyelidik dan penulis yang prolifik dan hebat boleh diketengahkan untuk berkongsi ilmu hasil kajian dan pengalaman mereka.

Dalam program ini Dr. Rashidi Abbas menceritakan kombinasi di antara minat menulis dan sasaran pencapaian jabatan menyebabkan terhasilnya buku ini. 

Intipati buku tersebut berkisarkan perkembangan pendidikan tahfiz masa kini dengan penerapan tujuh elemen kemahiran insaniah iaitu kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, etika dan moral profesional, kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan serta budaya keusahawanan.

Program Sharing@BookCafe ini juga mampu menyemai minat dan mendorong warga UMP khususnya untuk menanam minat membaca dan menjadikan amalan membaca sebagai gaya hidup. 

Program akan diteruskan pada minggu hadapan (23 April 2019) di Perpustakaan UMP, Kampus Gambang bersempena dengan Program Jom Baca Untuk 10 minit.


EKSA

Perpustakaan UMP laksana Program Waste4Fine bayar denda guna botol minuman

BIL. 28 APR 2019

Oleh: WAN NURULHUDA WAN ZAKARIA, PERPUSTAKAAN UMP 

Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membenarkan pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin dalam menjayakan program Waste4Fine sebagai usaha menyokong inisiatif pelaksanaan amalan hijau ke arah pencapaian Penarafan UI Greenmetrics yang dijalankan di universiti ini.

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula di samping membolehkan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini. 

“Kadar diskaun yang tinggi ditawarkan oleh pihak perpustakaan iaitu bagi setiap botol untuk pembayaran denda iaitu bagi botol bersaiz kurang dari 1000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1,000 mililiter dengan harga 20 sen.

BIL. 28 APR 2019

“Kadar kitar semula di UMP berada pada tahun sangat rendah iaitu 5.2 peratus pada tahun lalu. 

“Dengan adanya program ini, diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya yang hadir merasmikan Program Waste4Fine anjuran Perpustakaan UMP pada 18 Mac 2019 yang lalu.

Turut hadir dalam program, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) UMP, Muhammad Hairynizam Muhd Taib.

Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pengguna perpustakaan untuk membuat pembayaran denda lewat pemulangan menggunakan botol plastik dan tin di samping boleh memanfaatkan masalah kewangan untuk membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini.

BIL. 28 APR 2019

Manakala menurut Pengarah Program, Hajah Siti Aishah Ghani berharap perlaksanaan program Waste4Fine ini akan berjaya diterapkan dalam kalangan semua warga UMP, khususnya mahasiswa UMP sendiri. 

Lebih menarik projek ini bermula hasil cetusan idea Kumpulan Inovasi dan Kreatif dalam menyokong usaha penghijauan kampus.

Dalam pada itu, hari pembayaran menggunakan botol minuman ini dihadkan setiap hari Rabu sahaja dan mengikut jadual operasi perpustakaan. 

Pengguna juga dibenarkan untuk membuat pembayaran penuh ataupun sebahagian denda dengan menggunakan botol plastik atau tin minuman. 

Staf yang bertugas di kaunter sirkulasi akan mengemas kini rekod denda di dalam sistem Perpustakaan dan memberi resit pembayaran kepada pengguna yang telah selesai melakukan pembayaran dengan kaedah pertukaran tersebut.  
 
Turut berlangsung ceramah bertajuk 'Kelestarian Kampus UMP' bersama dengan   Ketua Inisiatif UI Greenmetric UMP, Dr. Nazikussabah Zaharuddin yang juga merupakan pensyarah Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), UMP.  

Terdapat juga pameran bagi barang kitar semula dan juga jualan barangan seperti beg yang menggunakan bahan seperti kain dan kain rentang terpakai.

UMP juga telah melaksanakan Kempen 'Let’s Break Up with Single-Use Plastic' bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. 

Ia adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP. 

Pelbagai program telah dilaksanakan pihak secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini termasuklah 'MYTAPAU' yang membolehkan mahasiswa diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan di kafeteria universiti. 

UMP tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI Greenmetrics World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.