Skip to main content

Anugerah Kecemelangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang buat Nor Suhadah dan Nur Aznah

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang di universiti, di samping cemerlang dalam akademik ternyata berbaloi buat Nor Suhadah Razali apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al -Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.  

Suhadah, 24 berkata, beliau tidak menjangka terpilih sebagai penerima anugerah berkenaan memandangkan ramai lagi graduan yang berpotensi, namun bersyukur kerana terpilih pada majlis konvokesyen kali ini. 

“Prinsip hidup saya ialah berjuang dengan perjuangan selagi mampu kerana hanya diri sendiri yang mampu mengubah kehidupan. Perjuangan adalah cara yang membiarkan diri untuk terus berkembang. 

“Maka, jadilah manusia yang pekak tuli iaitu manusia yang mengabaikan suara-suara yang menghalang diri sendiri untuk terus kehadapan dan terus fokus pada tujuan serta konsisten dalam meraih kejayaan kerana konsisten dalam berusaha akan membentuk karakter yang lebih kuat.” ujarnya.  

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia dibesarkan oleh ibunya Hamidah Tahir, 54, yang merupakan ibu tunggal setelah kematian bapanya Razali Awang Lah akibat sesak nafas ketika usianya empat tahun. 

“Penyumbang terbesar kejayaan saya adalah ibu saya.  

“Selagi ibu saya bernafas, selagi itu saya cuba untuk membahagiakannya.  

“Saya percaya dengan kejayaan yang saya peroleh ini mampu umtuk membuatkan ibu saya tersenyum dan bahagia,” ujarnya.  

Selain itu, beliau juga ingin membuktikan bahawa seorang anak yatim tanpa ayah mampu untuk mendapat segulung ijazah sarjana muda supaya dapat membuka mata masyarakat untuk tidak memandang seseorang tanpa ayah tidak boleh berjaya. 

Kataya, hal ini juga mampu mengangkat martabat seorang ibu tunggal untuk dipandang mulia oleh masyarakat kerana sesetengah orang selalu mengatakan ibu tunggal tidak mampu untuk mendidik anak-anaknya dengan sempurna.  

“Saya mencintai ibu kerana dia telah memberikan saya segala-galanya.  

“Dia memberikan saya cinta, dia memberikan saya jiwanya, dan dia memberikan saya seluruh waktunya,” katanya. 

Manakala Nur Aznah Mat Yusof, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian turut dinobatkan sebagai penerima menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. 

Graduan yang berasal dari Kuala Terengganu itu teruja dan gembira selepas terpilih menerima anugerah tersebut dan berterima kasih kepada kedua orang tuanya yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang. 

Anugerah Kecemelangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang buat Nor Suhadah dan Nur Aznah

“Kejayaan terbesar saya adalah apabila mendapat Anugerah Dekan untuk semua semester.  

“Saya benar-benar tidak sangka yang saya dapat mengekalkan kecemerlangan tersebut sehingga semester akhir.  

“Pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah apabila saya menjadi Exco Akademik semasa tahun 1 bagi Civil Engineering and Earth Resources Student's Society (CIVER),” katanya.  

Tambah beliau, senior dan rakan-rakan banyak memberi tunjuk ajar dan menjadi contoh yang baik. 

“Melihat kejayaan senior telah membuatkan saya ingin belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan menyertai program yang dilaksanakan di UMPSA. 

“Para pensyarah universiti dan rakan-rakan turut sama banyak memberi galakan untuk saya terus berusaha mencapai kejayaan.  

“Anugerah yang saya terima ini memberikan motivasi kepada diri saya untuk terus berusaha pada masa depan,” katanya. 

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri