Skip to main content
Christysterra Johnny timba pengalaman di Turki

Christysterra Johnny timba pengalaman di Turki

Kuantan, 16 November- “Pengalaman menjadi guru bahasa Inggeris sementara di Altınküre Okullar, Sakarya Turki adalah pengalaman hidup yang paling bermakna sepanjang saya menuntut di UMP,” kata Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan, Christysterra Johnny, 23 yang menerima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID pada Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Di Turki, beliau mengajar hampir 200 pelajar berumur dari enam hingga 14 tahun untuk mempelajari dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris. Beliau juga menimba banyak pengalaman baharu dan turut mempelajari bahasa Turki.

Bangga dilahirkan dengan darah Kadazan, beliau tidak pernah lupakan keluarga yang banyak menyokong dan mendoakan yang terbaik untuk dirinya. Bapanya, Johnny John, 50 bekerja sebagai Penolong Am Rendah dan ibunya, Catherina Angkim, 52, seorang jururawat.

“Di saat saya jatuh dan kecewa, mereka percaya pada saya dan sentiasa memberikan kata-kata semangat. Kejayaan saya sekarang adalah kerana mereka dan saya akan sentiasa berusaha untuk terus membanggakan mereka demi membalas jasa mereka,” ujar anak kelahiran Keningau, Sabah.

Christysterra cemerlang dalam akademik dengan memperoleh dekan sepanjang tujuh semester, pingat perak dalam Research Project in Creation Innovation Technology@Research Exposition (CITREx 2019) dan turut mendapat Anugerah Tokoh Akademik daripada Persatuan Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah Sarah (SMASS).

Anak kedua daripada lima adik-beradik ini berpegang kepada kata-kata hard work, works. Ini kerana, kejayaan tidak akan datang begitu sahaja melainkan daripada hasil kerja keras, ketekunan, kegigihan, tidak mudah berputus asa dan sanggup untuk mengorbankan banyak hal demi untuk mendapatkan ilmu dan nilai-nilai soft skills yang tinggi.

“UMP menerapkan soft skills yang lengkap dari segi kepimpinan sehinggalah keusahawanan dan sesungguhnya dalam semua nilai ini, pelajar telah dididik sedia sebelum masuk ke alam pekerjaan di industri nanti,” katanya.

Beliau kini bekerja sebagai jurutera yang bertanggungjawab dalam penyediaan bahan dalam pembuatan pembentuk seramik dan merawat sisa air dari industri di TG Porcelain Sdn. Bhd. Pada masa akan datang, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di luar negara kerana baginya, ilmu merupakan pembelajaran sepanjang hayat dan kita perlu mengambil kesempatan dengan setiap peluang yang ada.

Disediakan oleh Hartini Hatta daripada Bahagian Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri