Skip to main content

Dhiyaurrahman Danial, anak pesara kerajaan terima Anugerah Kecemerlangan Heitech 

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Anak kepada pasangan pesara kerajaan, Danial Mamat, 61 dan Nor@Roshayati Hasan, 61 tidak menyangka akan menerima Anugerah Kecemerlangan Heitech dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 hari ini.

Dhiyaurrahman Danial, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Fakulti Komputeran menzahirkan rasa syukur  atas penganugerah yang diterima.

Katanya, anugerah itu beliau tujukan khas buat kedua ibu bapanya.

 Dhiyaurrahman Danial, anak pesara kerajaan terima Anugerah Kecemerlangan Heitech 

“Tidak dilupakan kepada para pensyarah dan rakan-rakan. 

“Mereka sentiasa hadir dan memberi kata-kata semangat serta dorongan tanpa henti kepada saya,” ujar penerima Anugerah Dekan enam semester itu. 

Tambah beliau lagi, UMPSA merupakan sebuah universiti yang saban tahun meningkat prestasinya.

“Melihat kepada Kajian Kebolehpasaran Graduan Tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, graduan Fakulti Komputeran telah memperoleh 98.9 peratus bagi kursus Ijazah Sarjana Muda.

“Fakulti Komputeran menyediakan silibus kursus yang kebanyakannya telah dikemas kini sesuai dengan keperluan industri pada masa kini.

“Tidak sekadar itu, UMPSA juga turut memberi penekanan terhadap pembangunan insaniah pelajar di samping pembelajaran akademik yang memberi nilai tambah kepada graduan UMPSA dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif,” katanya. 

Menyelusuri keperibadian Dhiya, beliau bukanlah seorang yang suka merancang setiap perkara.

“Saya merupakan seorang yang agak spontan dan akan melakukan perkara atau tugas yang saya perlu lakukan mengikut kesesuaian masa dan tenaga saya.

“Follow the flow, itu yang saya pegang kerana saya percaya dengan takdir dan ketentuan Allah dan sentiasa bersedia membantu orang yang memerlukan,” katanya. 

Dhiyaurrahman Danial kini merupakan pelatih di K-Youth Development Programme (KYDP) yang diterajui oleh Khazanah Nasional dengan kerjasama GKK Consultants Sdn. Bhd. dan TalentLabs. 

Graduan Fakulti Komputeran itu yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69 merupakan antara 124 graduan yang menerima penganugerahan sempena Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan  UMPSA Kampus Gambang.

 Dhiyaurrahman Danial, anak pesara kerajaan terima Anugerah Kecemerlangan Heitech 

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim