Skip to main content
Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals milik Wan Hamizan

Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals milik Wan Hamizan

Kuantan, 16 November – Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteran Kimia, Wan Hamizan Wan Zainal,24, menerima Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-14 bertempat di Kompleks Sukan Universiti, Gambang.

Anak kepada pasangan Wan Zainal Wan Mat dan Noraini Chong Abdullah berkata, definisi kejayaan dalam hidup ini ditentukan oleh diri kita sendiri bahkan kejayaan orang lain bukanlah kegagalan kepada kita selagi belum memperolehinya. Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Sentiasa berpegah teguh dan ingat pesanan kedua orang tuanya, jangan pernah malu untuk menuntut ilmu serta bertanya walau dengan sesiapa pun menjadikan graduan ini pernah merangkul Anugerah Emas Universiti dalam Majlis Konvokesyen UMP ke-11 yang lalu.

“Banyak kenangan manis yang tidak akan dilupakan semasa menuntut di UMP. Pelbagai pengalaman yang telah saya perolehi dalam menjayakan program universiti antaranya peserta 13th Malaysia Chem-E-Car Competition 2018, peserta Winter School - Oil and Gas in Energy Industry di Rusia anjuran Peter the Great Saint Petersburg Polytechnic University, Presiden UMP Institution of Chemical Engineers (IChemE) 2017/2018 dan Wakil Badan Profesional untuk (CHEST) Chemical Engineering Student Society 2017/2018,” ujarnya.

Anak ketiga dari lima beradik ini turut berpandangan bahawa mahasiswa boleh dibentuk dengan baik sekiranya mereka menggunakan kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh universiti yang mempunyai tenaga pengajar pensyarah yang cukup profesional dan mahir dalam subjek yang diajar. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman kampus, ujarnya. 

Wan Hamizan kini telah berkhidmat bersama Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd sebagai Trainee Engineer (Production).

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri