Skip to main content

Kekangan PKP tidak jejas Nur Sofia raih Anugerah Emas Konvokesyen UMPSA    

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Umum mengetahui kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan jumlah kes COVID-19  di negara ini kira-kira dua tahun lalu memberi kesan kepada kehidupan seluruh rakyat ketika itu. 

Hal yang sama terjadi kepada penerima Anugerah Emas Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18, Nur Sofia Idayu Didik Aprianto, 22, apabila bapanya yang bekerja sebagai tukang rumah terputus sumber pendapatan dek kekangan keluar bekerja. 

Namun begitu, beliau yang juga graduan  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bersyukur apabila menerima sumbangan dermasiswa daripada Tenaga Malaysia Berhad (TNB) berjumlah RM5,000.00 pada setiap semester untuk meneruskan kelangsungan pembelajarannya di UMPSA. 

“Dengan wang itulah saya gunakan untuk membayar yuran, menampung kos pembelajaran dan membantu ibu bapa untuk kelangsungan hidup kami  lapan beranak sepanjang tempoh berkenaan.  

“Waktu PKP juga sangat mencabar kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian. 

“Pembelajaran secara dalam talian ini memerlukan fokus yang tinggi untuk mendengar apa yang disampaikan oleh pensyarah dan membuat tugasan kerja berkumpulan berikutan rangkaian internet yang sering terganggu.  

Kekangan PKP tidak jejas Nur Sofia raih Anugerah Emas Konvokesyen UMPSA     

“Namun, Alhamdulillah berkat doa daripada ibu bapa, segalanya dipermudahkan dan saya bersyukur kerana tidak pernah gagal memperoleh Anugerah Dekan setiap semester,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 3.8 dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Elektrik dan Elektronik. 

Nur Sofia yang merupakan anak jati Kuantan itu berkata, beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti yang sentiasa peka dengan keperluan pelajar di kampus. 

“Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) selepas ini.  

“Buat masa sekarang, saya sedang menunggu kelulusan daripada UMPSA untuk kemasukan program Fast Track Ph.D,” ujarnya.  

Kekangan PKP tidak jejas Nur Sofia raih Anugerah Emas Konvokesyen UMPSA     

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA 

 

Reports by:
Admin UMP News