Skip to main content

Lepasan Kolej Vokasional buktikan boleh berjaya, peroleh Anugerah Pelajaran Diraja

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Tidak pernah beroleh kejayaan semasa melanjutkan pengajian diploma dari Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Melaka, Muhammad Ambri Mohd Sha’ari, 24 membuka mata masyarakat bahawa beliau tetap boleh berjaya sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  

Anak kelahiran Melaka itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) berpendapat bahawa UMPSA merupakan salah satu daripada universiti MTUN yang memberi peluang dan ruang buat pelajar TVET bagi menyambung pengajian pada peringkat ijazah dan ke atas.  

“Ini kerana, UMPSA merupakan universiti kejuruteraan dan teknologi yang banyak menghasilkan graduan yang berjaya dalam bidang masing-masing.  

“Untuk mendapatkan hasil pelajar yang cemerlang, berkemahiran dan mempunyai ilmu daripada segi teori dan praktikal, UMPSA telah menyediakan kemudahan yang sangat bersesuaian dengan jurusan yang saya ambil.  

“Selain itu, kebanyakan kemudahan adalah mengikut perkembangan teknologi yang kian pesat membangun dari masa ke semasa,” katanya.  

Tambah beliau lagi, kemudahan dan fasiliti di UMPSA bagi kegunaan para pelajar seperti kelas, gelanggang sukan, jalan raya, kafeteria, bengkel, perpustakaan, dan residen pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang optimum.  

Lepasan Kolej Vokasional buktikan boleh berjaya, peroleh Anugerah Pelajaran Diraja

Kecemerlangan beliau terbukti apabila memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94.  

Bapanya, Mohd Sha’ari Muharam, 56 bekerja sebagai tukang besi di Mint Chuan Iron Construction Sdn. Bhd., Melaka dan ibunya, Rozita Abdul Rahman, 54 pula bekerja sebagai pembantu arkitek di SLT Architects Sdn. Bhd., Melaka.  

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik, beliau turut bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti sepanjang tujuh semester pengajian di UMPSA.  

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS) 2021/2022, Exco Kesukarelawanan dan Jaringan Sosial Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4 (PEKA 4) 2021/2022, serta Sekretariat Sukan dan Rekreasi Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 4 (PEKA 4) 2020/2021.      

Selain itu, beliau turut menyertai Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Program Volunteer Leadership Program (VLDP) 2021 dan berjaya geran sebanyak RM2,500 untuk menjalankan program kesukarelawanan bersama pihak UMPSA.  

Beliau juga pernah menjadi salah seorang calon bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2021/2022 dan menjadi peserta Vehicle Crash Testing Safety Course, Malaysia Institute of Road Safety Research (MIROS) 2021.  

Tambah beliau, modul pembelajaran UMPSA sangat membantu kerana berkaitan dengan keadaan sebenar ketika menempuh alam pekerjaan.  

“Peningkatan dan penambahbaikan bagi setiap modul sentiasa dipertingkatkan oleh semua tenaga pengajar dan mereka akan memastikan modul pembelajaran yang diterapkan dalam kelas sentiasa mengikut perkembangan teknologi semasa. 

“Ini membolehkan para pelajar untuk sentiasa mendapat ilmu baharu dan didedahkan dengan pembaharuan yang berlaku di luar universiti.  

“Dalam erti kata lain, semua tenaga pengajar sentiasa mementingkan isi kandungan pembelajaran bagi memastikan kebolehpasaran pelajar dipertingkatkan setiap tahun,” katanya.  

Beliau berpendapat, kaedah pendekatan pembelajaran yang telah diterapkan oleh tenaga pengajar sangat efisien kerana pendekatan secara praktikal lebih tinggi berbanding pendekatan secara teori.  

“Para pelajar sentiasa didedahkan dengan keadaan bekerja sebenar dan sentiasa dapat mengaitkan pembelajaran secara teori dalam kerja praktikal.  

“Subjek universiti sangat membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran saya sebagai graduan dari segi kepimpinan, ketekunan, kemahiran dan sebagainya.  

“Ini menunjukkan seluruh warga UMPSA telah menjalankan aktiviti atau kursus yang sangat bermanfaat dan berguna kepada para pelajar secara berterusan sepanjang pengajian,” katanya. 

Ujarnya, kokurikulum yang terdiri daripada badan kepimpinan ataupun persatuan juga sangat efektif bagi para pelajar. 

“Ia menjadi salah satu medan atau tempat untuk para pelajar mencungkil bakat, meningkatkan keyakinan diri, memberikan pengalaman dari segi kepimpinan dan membenarkan para pelajar untuk menjalankan aktiviti yang bermanfaat dan berguna pada warga UMPSA dan masyarakat. 

“Setiap pendekatan yang telah dibuat oleh UMPSA daripada pelbagai aspek sangat membantu untuk membangunkan jati diri dan ilmu pada seseorang pelajar,” ujarnya.  

Beliau sangat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya, para pendidik, rakan-rakan seperjuangan serta penasihat dan jawatankuasa Generasi Siswa Sihat (GENESIS) dan Perwakilan Residen Pelajar 4 dan 5 (PEKA 4 dan 5).  

Ibu bapanya adalah penyumbang terbesar kejayaannya sekarang kerana mereka juga tidak pernah berputus asa mendidiknya supaya berjaya di dunia dan akhirat.  

“Ketika saya jatuh tersungkur, mereka inilah yang mengangkat saya untuk terus berjalan dan berlari mengejar impian saya serta ketika saya mencapai kejayaan, mereka jugalah orang yang paling gembira dan sentiasa berada di sisi saya. 

“Penghargaan juga diberikan kepada semua rakan seperjuangan saya yang sentiasa cuba yang terbaik dan berusaha untuk menghasilkan projek dan keputusan yang terbaik.  

“Tidak lupa juga, saya ingin mendedikasikan penghargaan kepada anggota kumpulan projek Auto Lifter and New Chute for Transferring Asphalt Sheet (Automation), Hasmunir, Wan Asri, Hishamuddin, Simoh, Fendi dan Mohd Nazri.  

“Untuk makluman semua, projek tahun akhir ini merupakan salah satu projek sebenar di Perodua Manufacturing Sdn. Bhd.,” katanya.  

Ketika ditanya tentang prinsip hidupnya, beliau berpegang kepada ‘dalam hidup kita tiada jalan mudah untuk kita berjaya’.  

Lepasan Kolej Vokasional buktikan boleh berjaya, peroleh Anugerah Pelajaran Diraja

“Usaha, doa, tawakal dan reda merupakan prinsip hidup saya.  

“Perkara yang sukar akan jadi mudah, perkara yang mustahil akan menjadi nyata.  

“Jagalah solat, jaga hubungan dengan ibu bapa, adik beradik dan masyarakat supaya semua perkara yang kita buat akan berkat di dunia dan akhirat. 

“Genggam bara api biar sampai jadi arang,” jawabnya.  

Kini beliau bekerja di Perodua Sales Sdn. Bhd. (Ibu Pejabat) bermula pada 8 Mei 2023 sebagai Executive Trainer (Technical Education), Learning and Development Department.  

Besarlah harapan beliau untuk melihat UMPSA melahirkan lebih ramai graduan berkualiti yang dapat meraih pelbagai peluang pekerjaan di seluruh pelosok negara.  

“Semoga para majikan di luar sana akan menjadikan graduan UMPSA sebagai pilihan utama mereka kerana beliau yakin para graduan UMPSA dapat terus menjulang nama baik UMPSA dengan menjadi golongan pekerja yang cemerlang di dalam apa jua bidang yang dipilih,” katanya.  

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta