Skip to main content
Solat Dhuha Rahsia Kejayaan Nor Syahirah Raih 

Solat Dhuha Rahsia Kejayaan Nor Syahirah Raih 

Kuantan, 16 November – Penerima Anugerah Yayasan Pahang Majlis Konvokesyen ke-14 Universiti Malaysia Pahang  (UMP),  Nor Syahirah Mahmudin, 23, mengakui mengamalkan solat dhuha dan tahajud setiap hari sekaligus menjadi rahsia kejayaannya.

Menurut Syahirah,  amalan Solat Dhuha dan Tahajud  tersebut dilakukan setiap hari agar memudahkan setiap urusan terutama dalam pembelajaran kerana setiap urusan kita tak boleh harapkan usaha kita sahaja, sebaliknya perlu yakin dan berharap terhadap pertolongan Allah SWT.

“Syukur, Alhamdulillah kerana tidak menyangka terpilih menerima anugerah ini, kerana merasakan lebih ramai lagi yang layak berbanding dirinya. Mungkin kerana  berkat sokongan serta doa daripada keluarga, terutama kedua–dua  ibu  bapa menjadi kunci utama kejayaan yang diterima,” ujurnya.

Ibubapa adalah pendorong kejayaan saya yang membimbing dari kecil hingga kini selain itu kita perlu  pelihara hubungan dengan Allah SWT, pensyarah dan rakan-rakan. Anak kelahiran Bentong, Pahang ini juga turut meraih enam kali anugerah Dekan sepanjang pengajiannya. Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan kepujian itu  kini sedang bertugas sebagai Islamic Graduate Traineed di Hong Leong Islamic Bank, Menara Hong Leong.  

Kecemerlangan dalam akademik bukan menjadi batasan untuk beliau tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum di universiti. Bakat kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan seperti Timbalan program bersama anak-anak autism dari Persatuan Kebangsaan autisme Malaysia (NASOM) dan sering memegang jawatan dalam persatuan Mahasiswa Anak-Anak Pahang (SEMAMPAN) serta pernah meraih pingat emas dalam menyertai pertandingan penyelidikan Creation, Inovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2019).

Anak bongsu dari lima beradik ini berkata dengan dengan penyertaan dalam aktiviti di universiti terutama dalam program kesukarelawanan yang secara tidak langsung dapat membantu dan mendekatkan diri kita dengan masyarakat setempat.  

Empat lagi penerima Anugerah Yayasan Pahang iaitu S Thamilarasi A/P V Sithambaram yang menerima ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Sho Yun Feng, Sarjana Muda Pengurusan Projek Dengan Kepujian,  Ng Khee Khin, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dan Nur Farziana Binti Husein, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Pembuatan.

Majlis konvokesyen UMP kali-14 menyaksikan seramai  3782 graduan selama dua hari bertempat di Kompleks Sukan UMP Gambang. 

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri