Skip to main content

UMPSA lahirkan graduan antarabangsa daripada 14 buah negara

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Seramai 81 orang graduan antarabangsa daripada 14 buah negara meraikan kejayaan mereka apabila berjaya menamatkan pengajian sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 pada 21 hingga 24 Oktober 2023 di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.

Daripada 81 orang graduan antarabangsa ini, seramai 30 orang adalah graduan Doktor Falsafah (PhD), 18 orang graduan ijazah sarjana dan 33 orang graduan ijazah sarjana muda yang terdiri daripada graduan pelbagai fakulti dan pusat pengajian yang terdapat di UMPSA. 

UMPSA lahirkan graduan antarabangsa daripada 14 buah negara

Menurut Abdirahim Ali Hassan, 27 dari Somaliland, Somalia sepanjang pengajiannya di Fakulti Komputeran, beliau telah dapat belajar dengan baik dalam suatu persekitaran yang kondusif dan selesa. 

“Pilihan untuk melanjutkan pelajaran di UMPSA merupakan satu pilihan yang tepat kerana saya dan rakan-rakan dapat memulakan pengajian di bangunan Fakulti Komputeran, UMPSA Pekan yang serba baharu,” katanya. 

Seiring usia 21 tahun penubuhan UMPSA, pertambahan jumlah pelajar antarabangsa di UMPSA membuktikan bahawa universiti ini kekal menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

Tambah Abdullah Ahmed Mohammed Lahmdi, 23 graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dari Yaman, beliau mendapat pengalaman yang indah sepanjang pengajiannya walaupun menghadapi sedikit kekangan bahasa ketika berkomunikasi dengan pelajar tempatan. 

“Secara keseluruhannya, para pensyarah UMPSA sangat membantu dan memberikan tunjuk ajar yang berterusan untuk memahami sesuatu topik pembelajaran. 

“Insya-Allah, saya turut berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UMPSA kelak,” ujarnya. 

UMPSA lahirkan graduan antarabangsa daripada 14 buah negara

Pelbagai kemudahan dan prasarana yang ditawarkan di UMPSA terbukti menjadi daya tarikan kepada pelajar antarabangsa untuk meneruskan pengajian di sini. 

Suasana kampus yang damai dan diserikan dengan landskap tumbuhan menghijau menyediakan ruang yang ideal untuk mereka belajar dan bergaul bersama-sama pelajar tempatan. 

Keunggulan UMPSA sebagai universiti berteraskan teknologi pula membuka ruang dan peluang yang banyak kepada para pelajar untuk belajar dan mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini sepanjang tempoh pengajian mereka di negara ini. 

Abdalmuizz Nasreldin Eltayeb Abdalla, 23 dari Sudan yang juga merupakan graduan FTKKP turut mempunyai pengalaman yang unik kerana dapat mengenali pelbagai tempat baharu dan rakan-rakan yang baik daripada latar belakang yang berbeza. 

“Universiti bukan sahaja sekadar tempat untuk menimba ilmu tetapi ia juga merupakan tempat pembentukan diri dan penerokaan ruang yang lebih meluas dalam membentuk personaliti seseorang. 

“Para pelajar wajar menikmati kehidupan di kampus dengan sebaik-baiknya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan peningkatan kendiri,’ ujarnya. 

Keberangkatan Canselor UMPSA, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Pro Canselor UMPSA turut menyerikan lagi majlis gilang-gemilang penuh bersejarah ini. 

Hal ini sudah tentunya menjadi lebih bermakna kepada para graduan antarabangsa kerana mendapat segulung ijazah yang buat julung-julung kalinya diabadikan nama Tuanku Canselor UMPSA yang juga merupakan pemimpin nombor satu Malaysia ketika ini. 

Penjenamaan UMP kepada UMPSA sudah semestinya menjadi sesuatu yang unik dan akan menjadi kenangan indah buat mereka tentang alma mater mereka di Malaysia. 

Kenangan menciptakan pengalaman, pengalaman menciptakan kekuatan dan semoga para pelajaran antarabangsa ini menjadi graduan yang memiliki daya tahan yang kuat dalam menghadapi dunia pekerjaan kelak. 

Tahniah dan selamat maju jaya.

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad dan Khairul Amri Abdul Aziz, Pusat Bahasa Moden

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News