Skip to main content

Dato’ Hajah Habibah ahli LPU baharu UMP

Pekan, 6 Julai 2020 - Dato’ Hajah Habibah Mohd Yusof dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang baharu berkuat kuasa 1 Mei 2020 hingga 30 April 2023.

Mewakili swasta, beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, Global Phenomel Sdn. Bhd.

Dato’ Hajah Habibah juga berpengalaman luas sebagai Pegawai Perhubungan (Liason Officer) kepada Menteri Kerja Raya (2014), Pegawai Tugas-tugas Khas (Parlimen) kepada Menteri Pertanian (2014), Setiausaha Sulit kepada Menteri Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (2008-2009), dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan  dan Menteri Dalam Negeri (2004-2008).

Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (2001-2002), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Selangor (1993-1998) dan Koperasi Pekebun-pekebun Kecil RISDA, Pekan, Pahang (1990-1992).

Anak jati kelahiran Pekan, Pahang ini adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelantikan ini sebagai mengukuhkan kepimpinan profesional dalam usaha menjadikan UMP sebuah universiti yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, UMP mengalu-alukan pelantikan ini selain berharap akan terus memimpin universiti ke arah kecemerlangan bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah di bawah pimpinan Dato’ Sri Ibrahim Ahmad. 

“Tahniah atas pelantikan ini dan menerusi ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki Dato’ Hajah Habibah ini dapat memacu UMP ke arah kecemerlangan dan mencapai tahap pencapaian terbaik” ujarnya. 

Pelantikan ini juga menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah UMP kepada 11 orang.

Disediakan oleh : Safriza Baharuddin, Pejabat Suara UMP.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Safriza binti Baharuddin