Skip to main content

Pelajar Pascasiswazah terima Biasiswa Yayasan UMP

Pekan, 14 Julai 2020 - Yayasan UMP memperluaskan agihan dana dengan memperkenalkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah bagi membantu pelajar dalam urusan pembayaran yuran pengajian dan mengurangkan beban perbelanjaan serta wang saku sepanjang mengharungi ranjau kehidupan pengajian penyelidikan di Universiti Malaysia Pahang. 

Buat julung kalinya, seramai 20 pelajar yang layak menerima Biasiswa Yayasan UMP (Ijazah Sarjana – Penyelidikan) sebagai pemangkin semangat buat mereka untuk terus fokus dalam menjalankan eksperimen, kajian lapangan serta penerbitan jurnal sehingga tamat pengajian.

Serahan disampaikan Pengerusi Yayasan UMP, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin.

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Md. Sharif mengharapkan agar pelajar dapat belajar dengan bersungguh-sungguh dan dapat menyumbang kembali kepada Yayasan UMP setelah menamatkan pengajian kelak. 

Malahan dengan adanya biasiswa ini beliau percaya ia mampu menarik minat dan menjadi pendorong kepada lebih ramai lagi pelajar prasiswazah untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah nanti.

“Sentiasa ingat Yayasan UMP dan berterima kasih kepada penyumbang daripada badan korporat, zakat dan pihak luar.  

“Dengan sumbangan yang anda berikan kepada Yayasan UMP maka lebih ramai lagi jumlah penerima biasiswa atau penerima manfaat dari Yayasan UMP ini,” katanya.

Dato’ Sri Md. Sharif turut menasihatkan pelajar yang telah menamatkan pengajian dan terkesan akibat pandemik Covid-19 agar bersabar dalam mendapatkan pekerjaan. 

Mereka juga disaran agar kembali menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi sekiranya berkemampuan. 

Selain itu, pelajar juga digalakkan mengikuti kursus sijil kompetensi dan jangka masa pendek seperti program kesihatan dan keselamatan pekerjaan, kawalan kualiti dan lain-lain.

Penerima biasiswa daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Siratulakma Abdul Rahman berkata, sememangnya menjadi impiannya untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda.

Namun, mengenangkan masalah kewangan beliau telah memilih untuk bekerja terlebih dahulu dan tidak menyangka berpeluang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana apatah lagi dipilih menerima biasiswa Yayasan UMP. 

Beliau nekad untuk berusaha bersungguh-sungguh hingga tamat pengajian dan menyumbang kepada masyarakat.

Menurut Surenthiran a/l Gnanasekaran daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), biasiswa ini merupakan penyuntik semangat untuk beliau belajar bersungguh-sunguh sehingga berjaya dan mengharapkan suatu hari nanti dapat berbakti kepada keluarga, universiti dan masyarakat.

Pihak Yayasan UMP telah membelanjakan sebanyak RM2.2 juta untuk sumbangan bagi insentif pelajar baharu bagi pembiayaan masuk universiti, insentif kecemerlangan dan termasuklah biasiswa ijazah sarjana sebanyak RM260,000.

Sehingga kini, Yayasan UMP telah mengagihkan sebanyak RM9,056,195 kepada 70,464 penerima manfaat seperti pelajar cemerlang UMP, pelajar miskin, asnaf, B40, pelajar antarabangsa, komuniti setempat sama ada di sekitar negeri Pahang mahupun Malaysia serta kepada golongan yang memerlukan.

Yayasan UMP yang dahulu dikenali sebagai MyGift UMP telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2016.

Ia ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana daripada orang ramai, syarikat atau institusi bagi kegunaan kebajikan pelajar UMP dengan membiayai program pendidikan, kemasyarakatan serta penyediaan kemudahan pembelajaran tambahan yang diguna pakai oleh pelajar dan universiti.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit