Skip to main content

Pelajar UMPSA terima RM66,000 Geran Usahawan Siswa Bank Rakyat Unipereneur

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2023 – Seramai 20 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA) menerima dana perniagaan Bank Rakyat UNIpreneur berjumlah RM66,000 sebagai bantuan usahawan dalam kalangan pelajar universiti bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka untuk digunakan sebagai pembangunan modul dan program keusahawanan mereka.
 
Program Bank Rakyat UNIpreneur adalah kerjasama Bank Rakyat dan IPT tempatan untuk membantu usahawan siswa asnaf dari universiti yang terpilih meliputi suntikan dana sebanyak RM3,000 kepada peserta program dengan pembangunan modul program oleh pihak university.

Pada kali ini, seramai 500 orang pelajar dari semua IPT menerima manfaat ini.  
 
Manakala Program RAKYATpreneur pula adalah inisiatif kewangan sosial Bank Rakyat dalam membantu usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan dana sebanyak RM5,000.

Pelajar UMPSA terima RM66,000 Geran Usahawan Siswa Bank Rakyat Unipereneur

 
Majlis menyaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, hadir dalam Majlis Perasmian RAKYATpreneur dan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat baru-baru ini.  
 
Menurut Datuk Ewon dalam ucapan perasmiannya, kesinambungan kedua-dua program pembangunan usahawan oleh Bank Rakyat ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemampanan usahawan daripada golongan yang memerlukan sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

Pada majlis ini juga, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) yang mewakili pihak universiti, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian hadir bagi menerima sijil penghargaan program.  

Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Dr. Suhaidah Hussain.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, universiti berperanan dalam memperkasa keusahawanan siswa dengan menyokong ekosistem keusahawanan pelajar termasuk kursus keusahawanan, fasiliti perniagaan seperti kiosk, unit kedai, pemantauan  (mentoring) dan membina jaringan (networking) program bersama syarikat alumni.
 
“Pemantauan berterusan turut akan dilaksanakan pihak PUPUK bersama penyelaras Keusahawanan di setiap fakulti pelajar. 

“Menerusi program ini juga ia dapat membantu meningkatkan keupayaan usahawan siswa dalam membentuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi bersedia menghadapi cabaran dan rintangan kewangan di luar jangkaan pada masa hadapan,” katanya yang turut berpeluang melawat pameran perniagaan oleh para peserta.
 
Ujar beliau lagi, pelbagai inisiatif dijalankan pihak universiti terhadap keusahawanan graduan yang berfokus kepada aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan malah berdaya saing seiring dengan agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025.

Pelajar UMPSA terima RM66,000 Geran Usahawan Siswa Bank Rakyat Unipereneur

 
Pada masa yang sama juga, pihak PUPUK turut mengadakan Kursus Creativepreneur yang akan bermula pada bulan September hingga November ini terutamanya melibatkan pelajar dalam perniagaan seperti gunting rambut, barista, mobile & videography, mobile spa, urutan, pedicure, manicure serta Kursus Asas Canva untuk melahirkan usahawan siswa yang kreatif.
 
Sementara itu, bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nurshahira Hafiza Zakaria yang berjaya menerima geran itu berkata, perniagaan kek yang diusahakan ini bermula dengan mengisi masa lapang membuat kek pada musim PKP akhirnya bertukar menjadi pendapatan sampingan apabila mendapat banyak tempahan.
 
Dengan bantuan ini, beliau berhasrat meningkatkan perniagaan dengan membeli kelengkapan oven, penyejuk makanan (chiller) bagi menyimpan barang-barang membuat kek  dan lain-lain.
 
Beliau menasihatkan pelajar lain yang mempunyai minat menceburi bidang ini agar berani mencuba dan banyak ilmu keusahawanan dapat dipelajari yang menjadikan pelajar sentiasa belajar sesuatu yang baharu.
 
Begitu juga dengan Sofiah Afifah Hazemi dari Fakulti Sains Teknologi dan Industri (FSTI) yang mengusahakan projek makanan kucing. 

Beliau mula terinspirasi apabila bersama dengan rakan-rakan lain sebagai ejen/pengedar makanan kucing.
 
Dengan geran yang dimiliki, beliau berhasrat untuk menaik taraf bungkusan makanan kucing, pengurusan logistik dan aktiviti pemasaran bagi menarik lebih ramai pelanggan.
 
Ujarnya, melalui dunia usahawan menjadikannya seorang yang lebih pandai mengurus masa, mengurus kewangan dan perbelanjaan harian. 

“Apabila berniaga, pemikiran kita akan menjadi lebih matang dan kritis kerana kita berhadapan dengan prospek yang berbeza-beza pada setiap hari.
 
“Dengan semua soft skills yang dilatih dalam berniaga ini dapat membantu diri kita menjadi pelajar yang lebih bersedia dari segi IQ dan EQ,” katanya.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit