Skip to main content

Sanjungan Budi khas buat mantan Pengerusi dan LPU UMP

KUALA LUMPUR, 10 April 2021 - Majlis Sanjungan Budi Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan LPU diadakan sebagai mengenang jasa serta menghargai sumbangan mantan Pengerusi LPU, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang telah berkhidmat selama 2 tahun 9 bulan 15 hari bersamaan 1,017 hari di universiti ini.
Beliau kini merupakan Pengerusi LPU di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Majlis juga turut meraikan tiga ahli LPU UMP yang telah menamatkan perkhidmatan iaitu Shaiful Suliman, Haji Mohd. Fuad Kamal Ariffin dan Profesor Madya Dr. Wan Zuhainis Saad dan Profesor Madya Dr. Wan Mohd Ridzuan Darun iaitu mantan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi yang merupakan Setiausaha Sekretariat LPU.
Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam ucapannya berkata, majlis ini juga sebagai penghargaan bagi mengiktiraf kecemerlangan perkhidmatan kelima-lima tokoh kepimpinan yang banyak menyumbang bakti di universiti ini.
“Sumbangan yang dicurahkan oleh mantan PLPU dan ahli-ahli lembaga pengarah sangat besar impaknya kepada UMP dalam melahirkan barisan pemimpin masa depan. Jasa bakti dan sumbangan berupa tenaga, masa, buah fikiran, pandangan dan pengalaman masing-masing banyak menyumbang kepada kejayaan buat universiti ini.
“Di samping itu, ketokohan kepimpinan ahli LPU kini yang diketuai oleh Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bersama sembilan ahli LPU lain termasuk yang baharu dilantik iaitu Dato’ Zainal Abidin Ahmad akan terus memacu universiti ke arah kecemerlangan sepanjang pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang dibangunkan bersama untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapannya turut menghargai segala komitmen barisan ahli LPU dan pegawai universiti yang telah bersama-sama menjayakan agenda kecemerlangan UMP.
“Semoga semua pensyarah UMP akan terus menyumbang kepakaran terhadap pembangunan negara seperti Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang merupakan seorang ahli ekonomi dan pensyarah serta tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi di Malaysia,” katanya.
Dengan ketokohannya, beliau telah mencetuskan idea terhadap penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LTH), pencetus idea penubuhan dan Ketua Pengarah Pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengasaskan Institut Bahasa Teikyo, mengasaskan Universiti Malaya dan mencetuskan idea penubuhan Akademia Islam serta Pusat Asasi Sains.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kenangan sebagai penghargaan daripada pihak universiti.
Hadir sama dalam majlis ialah Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Hazmin Aris, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli serta barisan LPU universiti.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit