Skip to main content

UMPSA bakal jalin kerjasama dengan Beifang International Education Group tumpu pembangunan bidang TVET

PEKAN, 17 April 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA) bakal jalin kerjasama dengan Beifang International Education Group (Beifang) dalam pembangunan pendidikan tinggi khususnya bidang Latihan Pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) yang akan memanfaatkan perkongsian kepakaran berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet pelbagai benda (IoT), solar dan teknologi maklumat
 
Kolaborasi strategik ini bakal menyaksikan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) dan TANG International Education (China) di bawah usaha Malaysia-China Institute (MCI) melalui Belt & Road Initiative (BRI) China bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET di Malaysia.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, lawatan ini merupakan kunjungan balas hasil lawatan rasmi pihak UMPSA ke Beijing, China pada bulan Mac lalu dalam meneroka ruang dan peluang dalam bidang TVET, pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan.

UMPSA bakal jalin kerjasama dengan Beifang International Education Group tumpu pembangunan bidang TVET

“Selain itu, hasil kerjasama ini turut menyaksikan kejayaan program Malaysia-China Advance TVET Mobility (MyCHAT24) ke China melibatkan seramai 18 pelajar UMPSA dalam peningkatan kemahiran bidang Artificial Intelligence (AI) selama dua minggu di sana.   
 
“Justeru katanya, pertemuan kali ini memberi peluang kedua-dua pihak membincangkan berkenaan program kerjasama dan persediaan dokumentasi memorandum persefahaman (MoU) di antara pihak Beifang, MCI dengan UMPSA yang akan dimeterai tidak lama lagi. 
 
“Turut dibincangkan pembangunan penyelidikan, penasihatan industri, keperluan perkongsian kepakaran dan peralatan dalam meningkatkan latihan serta kemahiran pelajar dan staf dalam bidang seperti kejuruteraan automotif , teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga solar, kenderaan tenaga hidrogen dan kenderaan tenaga elektrik,” katanya.

UMPSA bakal jalin kerjasama dengan Beifang International Education Group tumpu pembangunan bidang TVET

Lain-lain ujarnya ialah pertukaran pelajar dan kerjasama bagi memperluas program mobiliti dengan pensijilan TVET dari institusi latihan atau industri di China bagi tujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan premium serta Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism).
 
Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim hadir menyambut ketibaan delegasi yang dihadiri oleh Pengarah Perniagaan Antarabangsa Beifang International Education, Han Lili, Pengurus Besar Tang Chinese Education Malaysia/China,  Tan Yu Chyan dan Ketua BELIA MAHIR, Mohammad Rizan Hassan. 

Turut sama penasihat BELIA MAHIR, Koh Sing Yee dan Pegawai Khas Pengerusi Malaysia China Institute, Tuan Noor Hafizudin.

Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat, Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan barisan dekan fakulti serta pengarah.

Delegasi turut berpeluang melawat Makmal Pusat Kejuruteraan, Makers Lab, Makmal Reka Bentuk Industri dan Makmal Smart Campus Autonomous Vehicle (SCAV) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta Makmal Pusat TVET Termaju di UMPSA Pekan.

Disediakan Oleh: Naqiah Binti Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Zaffaruddin Hamzah
 

Reports by:
Naqiah Puaad