Skip to main content

Warga UMPSA hias pejabat kibar Jalur Gemilang semarakkan bulan kemerdekaan

PEKAN, 29 Ogos 2023 – Jelas terpancar kemeriahan tatkala memasuki bangunan dan pejabat di kedua-dua kampus Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Pekan dan Kampus Gambang yang dipenuhi dengan kibaran jalur gemilang sebagai memeriahkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Setiap pejabat di Pusat Tanggungjawab (PTJ) turut digalakkan untuk memasang bendera bagi menunjukkan semangat patriotisme pada bulan kemerdekaan ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada bulan kebangsaan ini, kita wajar memasang Jalur Gemilang khususnya pada bangunan universiti, pejabat dan kenderaan selain meminta semua ketua jabatan mengambil peranan dalam memastikan pejabat mereka dipasang Jalur Gemilang sempena bulan kebangsaan ini.

Warga UMPSA hias pejabat kibar Jalur Gemilang semarakkan bulan kemerdekaan

“Semangat patriotik dan cintakan tanah air yang mendalam membangkitkan motivasi buat warga universiti untuk menghias pejabat dengan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang tinggal beberapa hari lagi," katanya selepas melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Universiti baru-baru ini.

Penganjuran Pertandingan Menghias Pejabat Sempena Bulan Kemerdekaan Ke-66 ini oleh Jabatan Pendaftar juga memberi peluang buat warganya menghasilkan kreativiti dengan semangat patriotisme.

Dalam pada itu, UMPSA turut menghantar dua pasukan kontingen menyertai acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kuantan dan Pekan.

Beliau mengharapkan semoga Hari Kemerdekaan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ pada tahun ini membawa perpaduan, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan kepada warga UMPSA untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan mengecapi masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang buat generasi hari ini dan masa hadapan.

Warga UMPSA hias pejabat kibar Jalur Gemilang semarakkan bulan kemerdekaan

Sementara itu, bagi Penolong Eksekutif Yayasan UMP, Muhammad Zufli Zuhari yang turun padang bergotong-royong bersemangat menyiapkan hiasan di pejabat dan tidak sabar untuk menyertai acara perbarisan bersama rakan-rakan lain pada 31 Ogos nanti.  

Beliau juga berharap semua warga UMPSA dan generasi muda hari ini dapat menghayati semangat integrasi nasional, setia kepada raja dan negara, serta menjaga keamanan dan kemakmuran negara Malaysia dengan sepenuh hati.

Sepanjang Bulan Kebangsaan ini pelbagai aktiviti telah dirancang, antaranya Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-66 Tahun 2023, Penyertaan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat Negeri, Program Corporate Social Responsibility (CSR), Pertandingan Hias Pejabat dan Tik Tok Merdeka, Derma Darah Merdeka, Ceramah Merdeka: ‘Kepentingan Kepimpinan Ulama dan Umarak’ dan lain-lain.
 
Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri