Skip to main content

Yayasan UMPSA, PUNB dan Maxis hulur bantuan keperluan memasak kepada pelajar luar kampus

PEKAN, 22 Mac 2024 - Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Maxis Berhad tampil menghulurkan bantuan barang keperluan memasak kepada pelajar UMPSA yang tinggal di luar kampus menerusi Program Salam Cinta Ramadan.
 
Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin sambil menyantuni dan beramah mesra bersama pelajar UMPSA. 

Menurut beliau, Yayasan UMPSA memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuklah individu, agensi kerajaan, pertubuhan awam, swasta, dan GLCs seperti PUNB dan Maxis Berhad untuk mencapai lebih banyak penerima manfaat melalui inisiatifnya. 

Penyerahan sumbangan itu melibatkan 40 buah rumah sewa pelajar di sekitar UMPSA Pekan dan Kampus Gambang yang juga diagihkan secara berperingkat oleh sukarelawan Yayasan UMPSA.

Yayasan UMPSA, PUNB dan Maxis hulur bantuan keperluan memasak kepada pelajar luar kampus

 
Turut hadir menyampaikan kit Ramadan ialah Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datin Nur Sharmila Shaheen

Menurut salah seorang penerima kit Ramadan, Nurul Ain Nazihah Zuhaimi, beliau bersyukur atas kit bantuan sempena bulan Ramadan dan juadah berbuka puasa yang diberikan oleh Yayasan UMPSA kerana ia dapat meringankan beban kewangannya walaupun berjauhan daripada keluarga.
 
Kerjasama antara UMPSA, PUNB dan Maxis Berhad turut diserikan lagi dengan adanya Majlis Berbuka Puasa Indahnya Ramadan Bersama UMPSA di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.
 
PUNB melangkah lebih jauh dengan memberikan sumbangan berjumlah RM62,500 kepada tabung zakat UMPSA yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada 250 orang pelajar yang memerlukan. 

Penyerahan sumbangan tersebut kepada universiti telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Zakat PUNB, Tuan Ahmad Sabri Ismail.
 
Sementara itu, Maxis Berhad turut memberikan sumbangan untuk iftar Ramadan di UMPSA bagi menandakan semangat kebersamaan dan kebajikan komuniti. 

Pertukaran surat hasrat antara UMPSA dan Maxis Berhad oleh Ketua Wilayah Pantai Timur Maxis, Narulhizam Ruslan telah dilakukan menandakan langkah awal kerjasama yang bermakna untuk meraikan bulan Ramadan yang mulia.
 
Salah seorang pelajar, Nurul Huda Hassan, melahirkan rasa syukurnya dengan sumbangan zakat yang diberikan oleh PUNB. 

“Ia benar-benar membantu saya dalam menangani kos pengajian dan membolehkan saya untuk terus fokus dalam pengajian tanpa perlu bimbang tentang masalah kewangan.

UMPSA, PUNB dan Maxis Berhad berharap agar sumbangan ini akan terus memberikan manfaat yang berkekalan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan serta membawa impak positif kepada masyarakat pendidikan di Malaysia.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Admin UMP News