Skip to main content

Rahmad restu minat anak dalam bidang Kejuruteraan

Kuantan, 11 November- Suhazri Amrin Rahmad,23 yang merupakan anak penyanyi rock yang terkenal di Malaysia era 90-an , Rahmad  Tohak yang dikenali sebagai Rahmad Mega, telah menerima ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan  Elektrik (Elektronik)  pada Majlis Konvokesyen Ke-13 di UMP kampus Gambang hari ini.

Suhazri Amrin yang merupakan anak sulung kepada penyanyi itu berkata kejayaan pada hari ini ingin dihadiahkan kepada ibubapanya yang telah banyak memberi dorongan selama ini.

Suhazri turut berkongsi rahsia kejayaannya agar tidak malu untuk bertanya dan sentiasa berusaha keras untuk berjaya.

Beliau yang kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana Sains di UMP itu berkata menjadikan bidang nyanyian hanya sekadar hobi sahaja.  Beliau bercita-cita ingin menjadi seorang jurutera atau seorang pensyarah suatu hari nanti.

Manakala menurut  Rahmad, beliau amat bersyukur dengan pencapaian anaknya dalam bidang akademik dan tidak menghalang minat anaknya untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.

“Saya sentiasa menyokong minat anak-anak yang lebih cenderung dalam bidang akademik dan saya sentiasa mendoakan agar impian mereka tercapai, “ katanya.

Rahmad turut membuat kejutan dengan mendendangkan lagu Bayangan Gurauan di atas pentas. Anaknya yang terharu dengan persembahan ayahnya  telah naik ke pentas dan memeluk ayahnya.

“Saya tak sangka ayah menyanyi dalam majlis Konvokesyen hari ini,” kata Suhazri.  Hadirin yang melihat detik itu tersentuh dan memberikan tepukan kepada mereka.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat.