Skip to main content

UMP Juara Pertandingan Intervarsity BIM Marathon

Kuala Lumpur - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjuarai Pertandingan Intervarsity BIM Marathon anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB Kuala Lumpur baru- baru ini.

Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) yang terdiri daripada Nur Atiqah Ashri, Che Ku Muhammad Amirul Syafiq Che Ku Pauzi, Nurul Intan Syafiqa Shahiri dan Nur Awadah Syakirah Abd Khalid membawa pulang membawa pulang trofi, wang tunai RM7000 serta sijil penyertaan.

Dalam pada itu pertandingan ini turut menempa sejarah dalam Malaysia Book of Record sebagai Longest Non Stop Building Information Modelling Marathon Competition apabila peserta berjaya menghasilkan model BIM dalam tempoh masa 66 jam tanpa henti  sempena penganjuran pertandingan Intervarsity BIM Marathon ini.

Menurut Pensyarah FKASA merangkap penyelaras BIM di UMP, Dr Ahmad Tarmizi Haron tidak menyangka penyertaan UMP buat julung kalinya ini berjaya meraih kemenangan. Beliau yang mempunyai Ijazah Kedoktoran BIM pertama di Malaysia ini berkata, semenjak program BIM diperkenalkan pada tahun 2013, UMP telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatiaf yang berkaitan pada peringkatan dalam mahupun nasional.

“Ianya bagi memastikan keperluan semasa industri sentiasa dipenuhi dan selaras dengan agenda Program Transformasi Industri Pembinaan di bawah CIDB. Kemenangan ini akan menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada semua pihak dalam memperjuangkan pelaksanaan BIM di Malaysia,” katanya.

Selain itu penganjuran pertandingan ini dapat mempromosikan kaedah dan perlaksanaan BIM terhadap sesebuah projek. Di samping itu, ianya juga mendedahkan peserta kepada penggunaan teknologi moden yang dapat meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang seni bina, kejuruteraan dan pembinaan.

Sementara itu, ketua projek, Nur Atiqah Ashri amat bersyukur dan tidak menyangka memenangi pertandingan ini. Dalam pertandingan ini pihaknya perlu menghasilkan model BIM dalam tempoh masa 66 jam tanpa henti yang bermula pada 19 hingga 22 Mac 2018 bertempat di myBIM Centre Studio and Lab Kuala Lumpur.

“Walaupun ianya amat meletihkan, tetapi kami berjaya menyiapkan model dalam jangkamasa yang ditetapkan Pelbagai cabaran yang kami tempuhi sepanjang menyiapkan model tersebut. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pihak perbentangan dan soal jawab bersama panel dapat diselesaikan dengan sempurna.,” katanya.

Pertandingan ini turut memberi peluang peserta mengenali rakan-rakan daripada IPT lain dan berkongsi pengalaman dalam penghasilan Model BIM multi disiplin meliputi arkitek, struktur, mekanikal dan elektrikal.

Pertandingan menyaksikan tempat kedua dimenangi oleh Politeknik Ungku Omar, Perak dengan membawa pulang trofi, wang tunai RM5000 serta sijil penyertaan. Manakala tempat ketiga pula telah dimenangi oleh Politeknik Port Dickson dengan membawa pulang trofi,wang tunai RM3000 serta sijil penyertaan. Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato,' Sri Zohari Haji Akob semasa majlis perasmian seminar International BIM Day 2018.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat  

Reports by:
Nur Laila binti Afandi