Skip to main content

UMPSA rai 58 staf yang berkhidmat 20 tahun

GAMBANG, 16 Februari 2024 – Seramai 58 staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah berkhidmat selama 20 tahun telah diraikan sempena Majlis Amanat Naib Canselor baru-baru ini. 

Majlis penyampaian sijil dan wang sagu hati telah disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada staf yang telah banyak berkorban sepanjang berkhidmat di universiti ini sehingga UMPSA mencapai kejayaan.  

UMPSA rai 58 staf yang berkhidmat 20 tahun

“Bertepatan dengan tema ‘Keperibadian Unggul’, ia dapat mencerminkan keupayaan kompetensi dan ilmu warga UMPSA untuk menggembleng tenaga demi pencapaian UMPSA kini. 

“Keperibadian unggul boleh dihayati melalaui prinsip nilai-nilai teras UMPSA. 

“Saya amat yakin dan percaya asas utama kepada keperibadian unggul adalah sifat amanah sebelum kita menerokai ciri-ciri yang lain di dalam keperibadian unggul,” katanya ketika berucap di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini. 

Beliau turut menyeru agar semua warga UMPSA supaya kekal dalam landasan amanah bagi melunaskan tanggungjawab sebagai warga UMPSA. 

Menurut salah seorang penerima  yang merupakan Pegawai Latihan Vokasional di Pusat TVET Termaju UMPSA, Ts. Mohd Anuar Haji Ramli, 49, beliau sanggup hadir ke majlis ini walaupun bertongkat  kerana mempunyai masalah kesihatan di bahagian lututnya sejak tahun lalu. 

“Apabila mengetahui majlis ini bagi meraikan staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun, saya begitu teruja untuk menghadirinya kerana tidak mungkin saya akan melalui detik yang mengembirakan ini lagi. 

“Tambahan pula jika dipanjangkan usia hanya sekitar lapan tahun sahaja lagi saya dapat berkhidmat untuk universiti kerana akan bersara wajib pada usia 56 tahun nanti. 

“Saya bersyukur dan amat bangga menjadi warga UMPSA, banyak manfaat dan kemudahan yang diperoleh sepanjang perkhidmatan saya di sini,” katanya. 

Katanya, Alhamdulillah, kini keadaan kesihatannya semakin pulih dan masih lagi dapat bergerak cuma terbatas untuk bergerak laju namun tidak menghalang sesi pengajaran dan sesi di makmal.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris