Skip to main content

Chong Jia Xin terima Anugerah Pro-Canselor

PAYA BESAR, 5 November 2022 – Anak Mekanik, Chong Jia Xin, 25 yang merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) dengan Kepujian dipilih sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Selain cemerlang dalam bidang akademik, Jia Xin turut aktif dalam aktiviti kokurikulum dan ini dapat dibuktikan apabila beliau mendapat anugerah dekan setiap semester dan pernah meraih Anugerah Emas ketika mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dahulu.

Pada masa yang sama, beliau turut aktif dalam penyelidikan sehingga meraih pingat perak dalam 12th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2022).

Beliau juga sering diberi kepercayaan untuk memegang jawatan seperti Ketua Bahagian Teknologi Kejuruteraan Institusi Jurutera Malaysia Seksyen Pelajar, Naib Presiden, Persatuan Bahasa Mandarin, Ketua Peraturan di UMP IEM’VENTION’21 dan lain-lain lagi.

Menurut Jia Xin sepanjang tempoh negara menempuh Pandemik COVID-19, ia amat memberi cabaran yang besar kepadanya. 

“Saya masih ingat lagi, pada waktu itu kami diwajibkan menghadiri kelas secara dalam talian. 

“Ia menyebabkan kekurangan dalam komunikasi secara bersemuka.

Chong Jia Xin terima Anugerah Pro-Canselor

 
“Untuk mengatasi masalah itu, saya akan menonton rakaman video kuliah dengan berulang kali dan bertanyakan kepada penyarah jika mempunyai sebarang pertanyaan,” katanya. 

Tambah anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini, beliau ingin menghadiahkan anugerah ini kepada kedua ibubapanya yang telah banyak berkorban dengan membesar dan memberikan pelajaran yang sebaiknya.

Beliau yang kini senang berkhidmat sebagai Siswazah Pelatih di Intel Microelectronics dan mengharapkan sudah sampai masanya untuk dirinya pula berbakti kepada kedua ibubapanya.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris