Skip to main content

Impian konvokesyen yang tidak mungkin tiba - Sakinah

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Gayanya yang bersahaja dan sentiasa tersenyum menyambut tetamu yang hadir ketika bertugas sebagai ahli Jawatankuasa Jemputan dan Sambutan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 baru-baru ini ternyata menyembunyikan seribu satu perasaan sedih yang begitu mendalam di dalam diri Siti Sakinah Mohtar.

Dirinya juga merupakan graduan yang dirai di dalam Majlis Konvokesyen itu apabila berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).  

Siti Sakinah Mohtar yang berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan di Jabatan Pendaftar merupakan salah seorang graduan yang mengikuti Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) hasil kerjasama dengan Fakulti Pengurusan Industri (FPI). 

Jauh disudut hatinya, sedih yang teramat apabila mengenangkan realiti kehidupan, ketibaan tetamu yang amat dinanti untuk bersama-sama meraikan kejayaan ini tidak mungkin kunjung tiba.

Meskipun begitu, dirinya terus melangkah ke hadapan membuat kebaikan demi kemaslahatan yang lebih besar seperti dipesan arwah ibunya yang masih tidak pernah lekang di bibir untuk turut diwariskan kepada anak-anak. 

“Buat yang baik dan jadilah yang terbaik. Allah SWT bagi sihat guna untuk yang baik-baik,” demikian nasihat arwah ibunya yang masih segar di dalam ingatanya. 

“Saya masih teringat kenangan sewaktu mengambil keputusan untuk mengambil peluang menyertai program MBA di bawah tajaan UMP ini. 

“Sasarannya satu iaitu tersimpan satu niat untuk menebus kekesalan keputusan masa lalu sewaktu tidak menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) semasa pengijazahan Sarjana Muda pada tahun 2013 yang menyebabkan tiada satu gambar konvokesyen bersama ibu dan abah untuk dijadikan kenangan,” katanya. 

Beliau mengimbas kenangan di awal pengajian MBA, pada waktu itu perasaan takut menyelubungi  dirinya apabila kelas pertama yang dihadiri adalah kelas bersama mantan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim bagi subjek Managerial Accounting. 

“Bagi pelajar Sains Tulen yang tidak mempunyai ilmu, hatta berkenaan kredit debit akaun, kelas pertama ini memberikan satu ketakutan yang amat mendalam bagi saya.

Impian konvokesyen yang tidak mungkin tiba - Sakinah

“Tamat kelas tiga jam, terdetik perasaan ‘masih sempat nak tarik diri!,’ ujarnya dan perasaan ini turut dirasai rakan-rakan lain. 

Namun demikian, mengenangkan keinginan untuk bersama-sama ibu dan ayah semasa Majlis Konvokesyen nanti menjadi pendorong utama buatnya untuk meneruskan pengajian.

Di hujung perjuangan, ujian demi ujian datang dan terus menguji kecekalan dirinya. 

Pada tanggal 21 Januari 2022, ayah yang disayangi telah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan tulang peha, betis dan ibu jari kakinya patah. 

Bukan itu sahaja, sekitar Mac 2022, ibunya pula mengadu sakit perut yang amat kuat dan pada 3 dan 6 Mac 2022, kakaknya membawa ibu ke Hospital Pantai, Batu Pahat untuk membuat pemeriksaan dan sekali lagi dikejutkan dengan berita bahawa ibu disahkan menghidap kanser usus dan telah merebak ke hati.

Ujarnya, pada ketika ini, senyuman mengganti tangis yang tidak dapat diluahkan bagi membolehkan perjuangan untuk menghantar penulisan projek 1 MBA itu diselesaikan. 

“Namun demikian, kesaratan emosi terluah di dalam penulisan. 

“Pemeriksa memberikan komen penulisan projek 1 adalah tidak bersifat akademik dan “seperti membaca diari Sakinah.

“Komen tersebut tersimpan kemas dan dijadikan panduan untuk penambahbaikan memandangkan sebagai pentadbir, penulisan akademik adalah satu perkara baharu yang perlu diteroka,” ujarnya. 

Meskipun begitu, beliau bersyukur masih lagi berjaya membuat penambahbaikan dan menghantar projek 1 sebelum mengambil giliran untuk menjaga ibu dan abah di hospital. 

Ibunya menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam usus pada 10 Mac 2022 dan kedua-dua ibu dan abah dibenarkan keluar hospital pada 12 Mac 2022.

Namun, sekali lagi dia diuji, doktor memaklumkan bahawa prognosis ibu adalah tidak memuaskan dan dijangka tempoh masa yang tinggal adalah kurang daripada enam bulan. 

Tambahnya lagi, selepas pembedahan, status kesihatan ibu tidak memuaskan sehinggalah menerima berita ibunya disahkan pula dijangkiti COVID-19 dan pergi meninggalkan mereka pada Jumaat, 20 Mei 2022 semasa perjuangan untuk menyiapkan projek 2 yang masih berbaki. 

“Kehilangan ibu menyebabkan saya seperti kehilangan arah untuk meneruskan pengajian yang berbaki. 

“Namun demikian, titipan pesanan ibu dan sokongan keluarga serta rakan-rakan terdekat banyak membantu diri untuk saya terus bangkit bagi menyiapkan projek 2 dan pembentangan kertas projek yang menjadi syarat untuk layak bergraduat.

“Alhamdulillah, ia telah dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Sepanjang pengajian, personaliti diri yang dahulunya terkenal sebagai pelajar yang sentiasa tidur di dalam kelas bertukar menjadi pelajar yang sentiasa aktif di dalam kelas. 

Tambahnya, bertanya soalan dan memberikan ulasan tanpa diminta merupakan satu tip untuk kekal sedar di dalam kelas. 

“Sewaktu di dalam kelas perlu digunakan sebaiknya untuk memahami konsep setiap subjek memandangkan seusai kelas, fokus perlu diberikan kepada tanggungjawab hakiki sebagai ketua kecil di tempat kerja, isteri, ibu kepada tiga orang cahaya mata serta menantu (tinggal bersama ibu mertua memandangkan suami merupakan anak tunggal) perlu dilaksanakan bagi menjaga keharmonian seisi rumah. 

“Saya akui bahawa saya bukanlah pelajar yang baik apabila kesemua tugas yang diberikan pensyarah hanya akan dimulakan beberapa hari sebelum tarikh akhir penghantaran memandangkan keutamaan perlu diberikan kepada anak-anak yang berusia antara dua hingga tujuh tahun yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. 

“Namun demikian, perasaan syukur dikurniakan pensyarah yang bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing, juga baik dan sudi membantu tanpa mengira masa dan amat membantu tanpa jemu,” katanya. 

Ujarnya berseloroh, kebanyakan mengatakan bahawa genetik kebijaksanaan adalah sesuatu yang diwarisi daripada ibu dan sekiranya pencapaian hari ini dilihat sebagai satu perkara yang boleh dibanggakan, kini saya tahu daripada siapa yang peroleh (dengan izin Allah SWT).

Kemeriahan majlis konvokesyen yang ingin dirai bersama ibu dan ayah kini kekal menjadi satu kenangan yang tidak mungkin dapat dinikmati. 

But still, I am proud to have you as my mother, ibu. Al-Fatihah, Allahyarhamah Mudah Marmoh,” ujarnya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit