Skip to main content

Kejutan buat graduasi anak, Rahmat hiburkan tetamu

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Penyanyi rock terkenal di era 90-an, Rahmad Tohak atau Rahmad Mega membuat kejutan bukan sahaja anaknya malah tetamu yang hadir apabila tampil di atas pentas dan membuat persembahan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Beliau yang menyanyikan lagu berjudul ‘Takdir dan Waktu’ turut menarik perhatian ibu bapa yang hadir pada sesi pertama pada hari ini.

Anaknya Suhazri Amrin, 25, yang juga merupakan graduan Sarjana Sains turut menemani ayahnya di pentas ketika membuat persembahan.

Kejutan buat graduasi anak, Rahmat hiburkan tetamu

  
Beliau adalah antara seramai 199 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk 14 anugerah dan hadiah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen itu.
 
Manakala seramai 832 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk 43 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada sesi 2 menjadikan seramai 1031 graduan pada hari pertama (5 November 2022) di Majlis Konvokesyen Ke-17.

Ketika ditemui Rahmad berkata, beliau hadir bagi meraikan kejayaan anaknya yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana Sains di UMP. 

“Sebelum ini Suhazri juga menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di UMP dan kini berjaya menamatkan pengajian sarjana di sini juga,” katanya.

Suhazri menerima ijazah sarjana yang disampaikan  Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor. 

Turut hadir , Pengerusi LPU, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Disediakan oleh: Nor  Salwana  Mohammad  Idris,  Bahagian Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris