Skip to main content

Kekurangan bukan halangan Nor Syafiqah dan Nabil Lutfi capai impian

PAYA BESAR, 8 November 2022 – Kekurangan pada diri dan mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) bukan halangan untuk  pelajar menyambung pengajian di Universiti atau berkerjaya.

Bagi Nor Syafiqah Nor Mizan, 22, apa yang penting adalah berusaha untuk melakukan yang terbaik. 

Beliau yang merupakan  graduan Diploma Sains Komputer menerima skrol daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dalam Majlis Konvokesyen UMP Ke-17.

Kekurangan bukan halangan Nor Syafiqah dan Nabil Lutfi capai impian

“Saya OKU dari segi fizikal sejak dilahirkan dengan keadaan kaki panjang sebelah dan mempunyai  kad OKU.

“Sentiasa terpahat di hati saya iaitu usah jadikan kekurangan diri sebagai kelemahan diri malah jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk lebih maju,” katanya.

Imbas syafiqah, biarpun memiliki kekurangan fizikal beliau tetap aktif sepanjang berada di universiti dengan melibatkan diri dalam aktiviti teater.

Pada pandangannya, bagi yang memiliki kad OKU, jangan terlalu memikirkan apa kekurangan diri namun buktikan kita juga mampu dapat lakukan seperti orang lain. 

“Jika diberi tugasan, laksanakan dengan sebaiknya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyelia semasa sesi latihan industry (LI), antaranya Profesor Madya Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid, Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli dan Ts. Aziman Abdullah yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi dorongan sepanjang pengajian di UMP,” ujarnya.

Nabil Lutfi, 28 graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer juga merupakan pelajar OKU UMP masalah pembelajaran berkata,  pemangkin kejayaannya  iaitu ibunya, Haslina Musa. 

“Kata-kata ibu sentiasa menjadi pegangan hidup saya.

“Ujar ibu saya, kekurangan bukan ukuran untuk meraih kejayaan. 

“Usaha yang berterusan tanpa putus asa pasti menghasilkan kejayaan,” jelas beliau lagi. 

Beliau turut berkongsi tip dalam pembelajaran iaitu jika tidak faham kita perlu bertanya kerpada pensyarah atau rakan-rakan dan buang rasa segan demi pelajaran.

Beliau mengucapkan terima kasih dan menghargai jasa ibu dan ayahnya yang sentiasa memberi dorongan selama ini.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris