Skip to main content

Pasangan suami isteri terima anumerta anak

GAMBANG, 22 Oktober 2023 - Pasangan suami isteri kuatkan semangat bagi menerima skrol Ijazah anak mereka secara anumerta yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 3 Oktober 2023. 

Adek@Che Ahmad, 46 dan Siti Yuana Janamin, 44 mewakili Allahyarhamah Asniza  Adek@Che Ahmad untuk menerima skrol Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Pembuatan yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada hari kedua Majlis Konvokesyen Ke-18 hari ini. 

Menurut Siti Yuana Janamin, impian anaknya untuk menghadiri majlis konvokesyen tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan baru-baru ini iaitu 19 hari sebelum majlis konvokesyen. 

Pasangan suami isteri terima anumerta anak

“Lebih menyedihkan semua persiapan pakaian dan perancangan telahpun dibuat serta arwah juga telah berjanji dengan rakan-rakannya untuk bersama-sama mengambil jubah konvo pada tarikh yang dijanjikan. 

“Namun, siapalah kita untuk melawan takdir, Allah SWT lebih menyayanginya. 

“Arwah seorang anak yang bertanggungjawab, penyayang dan berjiwa kental,” jelas  ibu kepada empat orang anak ini yang mengakui reda dengan pemergian anak sulungnya itu. 

Sepanjang sesi pengajian di UMPSA, beliau sentiasa berkongsi aktivitinya dan aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) sehingga  ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat Lefternan Muda.

“Saya sering ungkapkan, Along kena kuat untuk berjaya, tatkala beliau mengadu sentiasa sibuk dengan tugasan atau  tatkala berkongsi masalahnya. 

“Jadi hari ini, kekuatan itulah yang menjadi pendorong saya hadir ke majlis konvokesyen ini,” katanya. 

Pasangan suami isteri terima anumerta anak

Walaupun arwah telah tiada, namun mereka sekeluarga amat berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya dan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi  Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris