Skip to main content

Fakta Sejarah: Pahang negeri paling sukar ditakluki British

Kekayaan hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu. Helah bagi mendapatkan Pahang untuk diletakkan menjadi negeri naungan tidak dapat digunakan kerana British tidak mempunyai sebarang alasan untuk memaksa pembesar Pahang untuk menerima kehadiran mereka. Kesukaran juga disebabkan di Pahang tidak berlaku sebarang kekacauan dalam kalangan imigran. Usaha Governor British Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke pada peringkat awal hanya cuba memujuk Bendahara Negeri Pahang, Wan Ahmad untuk menerima penasihat dan pembantu dalam pentadbiran negeri Pahang telah ditolak. Sir Clarke meninggalkan Tanah Melayu tanpa dapat menguasai Pahang.

Pengganti Sir Clarke, Sir William Jervois berusaha meneruskan usaha Sir Clarke. Pada bulan Julai 1875, Sir Jervois telah datang ke Pahang untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad supaya menerima seorang penasihat British. Bagaimanapun, melalui pengalaman yang dilihat ke atas negeri-negeri Melayu yang lain, bendahara terus enggan menerima penasihat British. Minat British pada negeri Pahang berhenti seketika dengan perkembangan penentangan yang berlaku di Perak yang mengakibatkan pembunuhan J.W.W. Birch pada tahun 1875. 

Usaha campur tangan British di Pahang diteruskan kembali apabila Sir Frederick Weld dilantik sebagai Gabenor British di Singapura. Sir Weld tiba di Singapura pada bulan Mei 1880 semasa usianya 56 tahun. Apabila tiba di Singapura, beliau mendapati pihak British masih belum secara aktif memperluaskan dasar penjajahan di negeri-negeri Tanah Melayu yang dianggap beliau mempunyai sumber kekayaan yang boleh menjamin keuntungan ekonomi kepada Britain. Sir Weld yang melawat negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung berpandangan kawasan ini sesuai untuk tanaman kopi, tebu, teh, lada hitam, dan lain-lain tanaman ekonomi. Negeri-negeri Melayu juga mempunyai kekayaan bijih timah yang mempunyai permintaan yang tinggi di Eropah selepas berlakunya revolusi industri. Walaupun mempunyai sumber hasil kekayaan tetapi masih belum dijelajah. Oleh itu, Sir Weld bercita-cita membantu memperkembangkan penguasaan ekonomi dan perdagangan British di negeri Pahang. 

Gambar sumber: https://wzwh.blogspot.com/2010/09
Gambar sumber: https://wzwh.blogspot.com/2010/09

Pada tahun 1885, Sir Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad tetapi gagal. Pada tahun 1887, Sir Hugh Clifford pula telah diutuskan bagi mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah ditolak oleh Sultan Ahmad. Akhirnya Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris. 

Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang. Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang. Pada bulan Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana Pekan iaitu pembunuhan Goh Hui, seorang berbangsa Cina. British telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa Goh Hui kewarganegaraan British. British telah menuntut ganti rugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. British juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan taraf sebagai residen bagi menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang. Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Cecil Smith yang telah datang bersama-sama dengan Sir Frank Swettenham dan Sir Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah
Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Sir Cecil Smith selama sepuluh hari untuk memberi kata putus. Dalam masa yang sama, British telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar supaya campur tangan ke atas perselisihan ini. Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke negeri Pahang mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia sahaja. Sultan Ahmad sebagaimana kebiasaannya terlebih dahulu terpaksa mendapatkan pandangan daripada pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan. Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, dan Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang dengan Inggeris.

Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah, pada tahun 1888, Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris. Pada bulan Oktober 1888, Sir John Pickersgill Rodger (J.P. Rodger) telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang.

J.P.Rodger
J.P.Rodger

Daripada aspek pentadbiran, semasa pendudukan British di negeri Pahang, dalam keadaan terpaksa Sultan Pahang meminta agar British meletakkan atau melantik Residen sebagai penasihat kepada Sultan dalam hal ehwal pentadbiran. Disenaraikan beberapa Residen dan Timbalan Residen British yang telah berkhidmat di negeri Pahang pada tahun 1888 hingga 1950.

Residen British, Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam, Pesuruhjaya Residen dan Penasihat British di Pahang pada tahun 1888 hingga 1950

Sumber: Framed list of BA’s & RC’s in Pahang, Ref. (2) in Fail BA Phg 115/52, 7th January 1953, Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur.
Sumber: Framed list of BA’s & RC’s in Pahang, Ref. (2) in Fail BA Phg 115/52, 7th January 1953, Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur.

Sepanjang tahun 1888 hingga 1950, terdapat lebih kurang 54 pelantikan Residen dan Penasihat British dalam pentadbiran negeri Pahang.

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News