Skip to main content

Menghayati Nikmat Kemerdekaan Negara Menurut Perspektif Maqasid Syariah

Tarikh keramat 31 Ogos kembali tiba. Inilah saat manis rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajahan. Apabila tiba bula Ogos, kalimah merdeka mula disebut dan diulang,  jalur gemilang pula berkibaran. Sesungguhnya kemerdekaan negara merupakan suatu nikmat yang perlu disyukuri, dihargai dan dipertahankan.

Menurut Kamus Dewan, ‘merdeka’ bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan, tuntutan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. 

Walaupun terdapat pelbagai bentuk penjajahan yang merangkumi fizikal, minda dan sistem kehidupan, merdeka yang diraikan ini ialah bebas daripada cengkaman kuasa asing dalam memerintah negara. Mudah-mudahan dengan kebebasan itu juga membawa kepada merdeka daripada cengkaman penjajahan minda dan sistem kehidupan. 

Semenjak merdeka, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan menganut pelbagai agama. Pelembagaan negara telah menetapkan agama Islam sebagai agama persekutuan. Agama lain bebas diamalkan tetapi tertakluk kepada sekatan untuk dikembangkan kepada masyarakat Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1), 11(1) dan 11(4). 

Islam merupakan satu agama yang bertepatan dengan fitrah manusia. Ia juga menganjurkan hidup yang bebas dan merdeka. Walaupun begitu, kebebasan dan kemerdekaan yang dianjurkan itu bukan berdasarkan nafsu dan kehendak diri semata-mata. Ia hendaklah dipandu oleh ajaran Islam yang diturunkan dengan matlamat untuk menjaga maslahah atau kebaikan manusia. 

Kebebasan dan kemerdekaan yang membawa kepada kebaikan diiktiraf dan diraikan. Itulah hakikat sebenar maksud merdeka. Sebaliknya, apa yang dirasakan merdeka dan bebas tetapi kesannya membawa kepada kemusnahan dan kemudaratan sama ada pada diri, masyarakat dan negara bukanlah termasuklah dalam maksud kemerdekaan. 

Pelbagai ulama tersohor seperti al-Ghazali, al-Shatibi, Ibn Ashur dan lain-lain menegaskan matlamat pensyariatan ajaran Islam atau juga dikenali dengan maqasid syariah adalah untuk mendatangkan kebaikan atau maslahah dan menolak kemudaratan dunia dan akhirat. Kebaikan atau maslahah yang dijaga oleh syariat Islam merangkumi lima keperluan asasi dalam kehidupan manusia iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. 

Apabila diteliti kesan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah, sudah tentu ia mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat. Dari sudut penjagaan agama, dengan kemerdekaan yang dikecapi, rakyat boleh mengamalkan ajaran agama dengan bebas. Masjid, surau dan pusat-pusat pendidikan agama boleh didirikan. Ia juga boleh dikunjungi tanpa timbul rasa bimbang berlaku serangan, pengeboman atau pembunuhan oleh pihak yang menjajah. Kuliah dan pengajaran agama juga boleh dianjurkan. Secara umum, sistem kehidupan beragama boleh dipraktik dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Dari sudut penjagaan nyawa pula kemerdekaan yang dinikmati membolehkan negara yang berdaulat memelihara keselamatan rakyatnya dengan membina sistem ketenteraan yang baik untuk melindungi pencerobohan daripada luar di samping sistem keselamatan dalam negara bagi memastikan keamanan dalam terpelihara. Kedaulatan undang-undang dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan tanpa gangguan daripada pihak luar. 

Dengan kemerdekaan yang diperoleh, negara dapat membangunkan sistem pendidikan mengikut acuan sendiri tanpa secara langsung terikat dengan tekanan dan gangguan penjajah. Sistem Pendidikan sangat penting dalam menjaga akal, membina minda dan pemikiran bagi membangun manusia yang beradab, mampu membuat keputusan yang betul serta menjadi rakyat yang sejahtera dan menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. 

Kesan daripada kemerdekaan juga keturunan dapat dijaga. Perkara yang biasa didengar atau dibaca berkaitan sebuah negara yang dijajah ialah sering kali berlaku penindasan terhadap kaum wanita. Mereka dijadikan hamba seks dan dirogol sesuka hati. Kesannya, wanita tersebut melahirkan anak luar nikah. Bagaimana keturunan dan institusi kekeluarga dapat dijaga sekiranya berada dalam situasi sedemikian. Dengan kemerdekaan juga hak milik harta dan kekayaan negara serta rakyat dapat dipelihara. Hakikatnya, penjajah tidak kisahpun untuk menjaga harta pemiliknya sah atau mengagih kekayaan yang diperoleh daripada hasil bumi negara yang dijajah kepada kemakmuran kehidupan rakyatnya kerana tujuan penjajahan ialah untuk menguasai kekayaan negara yang dijajah. 

Di samping, penjajahan secara fizikal, membebaskan diri daripada belenggu tipu daya dunia, kezaliman manusia, hasutan syaitan dan hawa nafsu juga turut mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia dunia dan akhirat. Dengan bebasnya diri daripada belenggu-belenggu ini, masyarakat di dalam sesebuah negara yang merdeka dapat bergerak kehadapan memajukan negara dalam keadaan selamat dan aman tanpa risau kepada dengki, iri hati, tamak haloba, kezaliman, penipuan dan pelbagai sifat keji yang boleh meruntuhkan sesebuah negara.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66. Marilah kita bersama menghayati dan menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam diri, keluarga dan masyarakat  kerana sesungguhya kemerdekaan mendatangkan terlalu banyak kebaikan kepada kehidupan bernegara. Semoga negara kita terus maju, makmur dan gemilang. 

Dr. Tuan Sidek Bin Tuan Muda
Dr. Tuan Sidek Bin Tuan Muda

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
e-mel: sidek@ump.edu.my

 

Reports by:
Admin UMP News