Skip to main content

Biasiswa percuma bagi lepasan TVET sambung pengajian di China

MELAKA, 16 Januari 2024 - Kerjasama Malaysia-China dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) memberi manfaat buat pelajar apabila kerajaan China menawarkan biasiswa percuma kepada 1,000 orang pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini untuk mengikuti kursus di negara terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang tersebut membabitkan pelbagai kursus terutama automotif, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan bidang berteknologi tinggi yang baharu seperti kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMPSA menyambut baik usaha ini malah kerjasama strategik UMPSA dengan institusi China seperti Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) menyaksikan penubuhan Pusat Latihan Rel di universiti ini dalam memperkasa bidang kejuruteraan dan teknologi rel yang menyokong Agenda Pemerkasaan TVET Negara.
 

Biasiswa percuma bagi lepasan TVET sambung pengajian di China

Pada masa ini, UMPSA turut berkerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU), China bagi program ijazah dual membabitkan pengajian selama sembilan semester iaitu dua tahun pengajian di UMPSA dan baki 2.5 tahun di BJTU dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak tahun 2020.

Program ini berjaya menarik minat pelajar Malaysia dengan seramai 70 orang pelajar telah mendaftar dalam kohort pertama dan kedua program tersebut.

UMPSA juga turut melebar luas kerjasama dengan institusi pengajian di China termasuklah program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) dan kerjasama strategik dengan Universiti Ningxia (NXU), Baotou Railway Vocational & Technical College (BRVTC) dan Baotou Iron & Steel Vocational Technical College.

Dalam program yang sama turut menyaksikan program kerjasama Industry-MTUN Cyber Security Consortium melibatkan UMPSA, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam meningkatkan kemahiran dan kemampuan pelajar khususnya dalam bidang keselamatan siber seiring dengan keperluan 25,000 tenaga kerja masa akan datang yang berdepan dengan ledakan pendigitalan global.

Permintaan pekerjaan seperti ini akan memberi kesan kepada peningkatan gaji premium.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Massila Kamalrudin.

 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit