Skip to main content

Kolaborasi UMP dan institusi pendidikan tinggi dalam TVET Aras Tinggi

Kuantan, 23 Ogos- Kolaborasi dan jaringan strategik Universiti Malaysia Pahang ( UMP) membabitkan institusi pendidikan di Pantai Timur mampu meningkatkan peluang lepasan diploma dan belia menyambung pengajian dalam bidang Teknikal dan Teknologi. Penglibatan seramai 70 pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, agensi kerajaan, politeknik, badan profesional dan Kolej Vokasional dalam Program Dialog Pekan 1.0 anjuran UMP baru-baru ini memperlihatkan komitmen UMP bersama institusi pendidikan lain dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini.

Bertemakan "Peranan UMP dalam ekosistem pendidikan dan latihan teknik dan Vokasional Tinggi (Higher TVET)"  penganjuran program ini merupakan medium memperkukuhkan hubungan baik institusi serta meneroka peluang kerjasama profesional antara UMP dengan institusi pendidikan terutamanya di negeri Pahang dan Terengganu bagi memperkasakan ekosistem pendidikan yang dapat dimanfaatkan komuniti setempat.  

Bagi Pengarah Kolej Vokasional Kuantan, Haji Hashim Puteh yang merupakan  Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional Malaysia, pihaknya menyambut baik penganjuran program  ini dalam usaha mencari penyelesaian terutamanya peluang guna sama kemudahan dan peralatan bagi tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran. Beliau juga menasihatkan pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menyambung pengajian.  

Manakala bagi Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Haji Abdul Rahim Muhammad Yunus berkata, kewujudan UMP dilihat sebagai pemain utama dalam menyumbang  perubahan besar terhadap TVET di negeri ini dengan melebar luas peluang kepada pelajar yang minat dan cenderung memilih bidang TVET ini. Malahan hasil usahasama sekolah dan UMP juga menyaksikan sebahagian besar pencapaian pelajar yang meraih anugerah inovasi merupakan hasil cetusan idea kreatif pensyarah UMP.

Begitu juga  Rektor Kolej Universiti TATI (TATIUC), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, pihaknya berharap usaha ini dapat diteruskan dengan lebih komprehensif agar dapat berkongsi kepakaran, fasiliti dan perkhidmatan agar perkembangan ilmu pengetahuan itu dapat dipertingkatkan dengan cepat serta relevan. 

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dr. Ir Wan Azhar Wan Yusoff berkata, program ini selaras dengan hala tuju kerajaan agar dapat mengembeling usaha secara bersama dalam memperkasa TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi di negara ini dipenuhi oleh warga kerja tempatan.

“Justeru kita perlu bina hubungan strategik dalam memasyarakatkan universiti terutamanya bersama komuniti di negeri Pahang di samping berganding bahu meningkatkan minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mana ianya  juga bertepatan dengan keperluan negara dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya.

Selain itu menerusi program ini dapat meneroka pelbagai peluang dalam lapangan yang berkaitan  untuk dimanfaatkan masyarakat. Melihat kepada pasaran pekerjaan pada masa ini menyaksikan kebanyakan graduan memilih lokasi Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor sebagai destinasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Kita mengharapkan lebih banyak peluang kerjaya dicipta agar graduan juga dapat bekerja di negeri ini dan sebagai  universiti awam kita hendaklah sentiasa menjadi pemangkin untuk memajukan kawasan setempat,” ujarnya ketika berucap di Dewan Bankuet Canseleri UMP Gambang.

Program ini merupakan suatu platform strategik bagi percambahan fikiran  dan bertukar pandangan antara kepimpinan UMP dengan para pemegang taruh dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi merealisasikan hasrat tersebut. Turut dibincangkan peranan UMP dalam menerajui inisiatif pendidikan TVET bersama rakan institusi lain di Zon Timur dan cadangan bajet khas penggunaan peralatan bagi program TVET. Lain-lain cadangan termasuklah mewujudkan Dana Khas Pinjaman Pendidikan Tinggi di bawah Kerajaan Negeri Pahang serta mewujudkan semula inisiatif finishing school secara libat sama dengan rakan institusi.

UMP menawarkan Program Sarjana Muda Teknologi (B.Tech) mulai kemasukan pelajar baharu pada September ini bagi melengkapkan ekosistem TVET di Malaysia. Program turut sama  ditawarkan MTUN lain iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) .
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri