Skip to main content

Naib Canselor UMP santuni pelajar cemerlang STPM

KUANTAN, 25 Julai 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkesempatan menyantuni dan berkongsi kegembiraan bersama dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di kediaman mereka masing-masing. 

Kunjungan itu bertujuan bagi memberi penghargaan dan sokongan atas pencapaian akademik luar biasa kedua-dua pelajar berkenaan.

Dua pelajar cemerlang itu ialah Khaulah Azwar Syahar Alam dan Aliyah Afifah Azril yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan.

Naib Canselor UMP santuni pelajar cemerlang STPM

Mereka  berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan STPM yang diumumkan baru-baru ini.

Khaulah Azwar berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 manakala Aliyah Afifah pula berjaya meraih PNGK penuh iaitu 4.0. 

Naib Canselor UMP santuni pelajar cemerlang STPM

Kejayaan cemerlang yang diraih ini sudah pasti melayakkan mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Semasa kunjungan, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menyampaikan rasa kagum dan bangga terhadap pencapaian akademik yang cemerlang diraih oleh mereka berdua.

Lebih membanggakan apabila mereka berdua merupakan anak sulung di dalam keluarga dan kejayaan ini sekali gus dapat dijadikan contoh dan teladan bagi seluruh ahli keluarga.

Selain memberikan kata-kata semangat, beliau juga turut berkongsi informasi kepada mereka berkenaan program pengajian yang ditawarkan di dalam UMP. 

Malah, kedua-dua pelajar berkenaan juga turut ditawarkan biasiswa oleh pihak universiti bagi menaja pembiayaan mereka sepanjang pengajian.

Menurut beliau, biasiswa yang ditawarkan ini adalah sebahagian daripada usaha universiti bagi memastikan pelajar yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah turut mendapat peluang yang setara untuk melanjutkan pengajian di university. 

"Dengan adanya biasiswa ini, diharapkan pelajar akan lebih fokus untuk belajar tanpa perlu memikirkan beban kewangan yang tinggi," ujarnya. 

Kunjungan delegasi UMP itu turut disertai oleh Pengetua SMART, Tuan Haji Mohammad Che Ibrahim dan Ketua Kaunselor SMART, Puan Norazizah Jusoh yang juga hadir bagi memberikan sokongan dan dorongan kepada bekas pelajar mereka bagi melanjutkan pengajian ke UMP.

Sebagai tanda penghargaan dan sumbangan terhadap pencapaian cemerlang kedua-dua pelajar ini, Naib Canselor UMP turut menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan yang ditaja oleh Yayasan UMP kepada kedua keluarga pelajar tersebut.

Hadir sama dalam kunjungan adalah Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Hazmin Aris dan Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA), Zainal Bahari.

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena