Skip to main content

NC UMP terima Anugerah Tokoh Sukan MASUM 2022

PUTRAJAYA, 20 Julai 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrrie Zainuddin dianugerahkan Tokoh Sukan MASUM 2022 dalam  Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2023. 

Hadir menyampaikan anugerah Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin  dalam majlis yang berlangsung di Dewan Zaaba, KPT malam tadi. 

Menurut Dato’ Seri Mohamed Khaled dalam ucapannya, peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam pembangunan dan kecemerlangan sukan negara tidak sepatutnya terhad kepada mengesan, melatih dan menghantar atlet menyertai pertandingan sahaja.

“IPT boleh memanfaatkan pelbagai kepakaran dan kearifan ilmu yang dimiliki mereka dengan menjalankan penyelidikan, pemeteraian kerjasama serta pemindahan teknologi mencakupi semua aspek dan bidang yang mampu memperkasa sektor sukan negara agar sohor di mata dunia.

“Misalannya universiti boleh menghasilkan ciptaan pakaian atau peralatan sukan yang berteknologi tinggi, penghasilan menu atau rejim pemakanan dengan nutrisi terbaik, strategi permainan, analisis prestasi menggunakan big data dan analitik,” ujarnya. 

NC UMP terima Anugerah Tokoh Sukan MASUM 2022

Dalam pada itu, ketokohan kepimpinan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrrie yang dilantik sebagai Timbalan MASUM II bermula tahun 2018 banyak menyumbang terhadap kecemerlangan sukan di universiti dan tanah air apabila pernah mengetuai kontingen Malaysia  ke Sukan Universiti ASEAN  (AUG) 2018 di Naypyidaw Mynmmar dengan membawa pulang 37 pingat emas iaitu melepasi sasaran 35 emas, 43 perak dan 48 gangsa . 

Beliau juga pernah mengetuai MASUM ke Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada tahun 2019 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi dengan pasukan meraih 22 pingat emas, 28 perak dan 31 gangsa serta berjaya menduduki tempat ketiga daripada 8 Majlis Sukan. 

Selain itu juga, beliau yang pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MASUM II pada tahun 2020 hingga 2021 turut berdepan saat-saat getir tatkala negara dilanda wabak COVID-19 . 

Pada masa itu, Karnival Sukan MASUM telah diadakan secara fizikal pada 2020 dan 2021, terhenti akibat pandemik itu. 

Namun pada Januari hingga Mac tahun 2022, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrrie yang memegang jawatan Pengerusi MASUM  ketika itu membuat keputusan ‘berani’ untuk  mengendalikan penganjuran Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 secara fizikal dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. 

Acara  berlangsung  di UMP  yang diadakan mulai dari 24 hingga 27 Mac 2022 itu berjaya dilaksanakan dan menyaksikan kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 buat kali ketiga berturut-turut.

Pada majlis  yang sama, turut berlangsung Majlis Penyerahan Bendera Kontingen Malaysia ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China yang berlangsung mulai 26 Julai hingga 8 Ogos nanti.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit