Skip to main content

Nurul Akma jurutera muda berjiwa teguh seiring dengan usaha

 

“Keinginan teguh untuk berjaya merupakan kunci utama yang patut ada dalam jiwa setiap pelajar, tidak kira apa juga bidang yang diceburi,” kara Nurul Akma Mohamad Rani, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan, Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Itulah kata-kata semangat yang sentiasa dipegang oleh Nurul Akma yang berasal dari Kelantan. 

Beliau yang kini bertugas sebagai Jurutera Kualiti & Reliabiliti di syarikat Intel Technology (M) Sdn. Bhd. memikul tanggungjawab berat kerana perlu memastikan kualiti produk mengikut piawaian industri dan berkebolehan berfungsi dengan baik semasa digunakan oleh pelanggan. 

Jelas beliau, setiap produk yang dikeluarkan perlu dinilai fungsi dan kebolehan tanpa apa-apa kegagalan. 

“Jaminan kualiti adalah kunci utama apabila mengeluarkan sesuatu produk,” ujar Nurul Akma lagi. 

Yang menariknya, Nurul Akma bercita-cita mahu menjadi seorang doktor perubatan veterinar sehingga digelar dengan panggilan ‘doktor katak’ dalam kalangan rakan-rakan kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang itu. 

Namun hasratnya tidak dapat diteruskan kerana beliau mempunyai Ailurophobia, iaitu fobia terhadap kucing.

Menurut Nurul Akma lagi, kerjayanya sekarang membuka peluang yang luas untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya. 

Dalam tempoh enam bulan bekerja, beliau telah dianugerahkan sebagai pekerja bright spot. 

Beliau menggunakan peluang sebaiknya untuk membuktikan bahawa beliau merupakan seorang jurutera yang sangat dedikasi dan terbukti apabila diiktiraf sebagai pekerja yang bertanggungjawab kerana kegigihan beliau dalam memastikan suasana kerja yang kondusif.

“Kerjaya saya sekarang ini mampu menyokong perkembangan multimedia, komunikasi  dan jaringan maklumat di hujung jari sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasa  Internet of Things (IOT) bagi menyokong pasaran  dalam dan luar negara,” tambahnya. 

Setelah tamat pengajian, Nurul Akma pernah berkhidmat sebagai pembantu penyelidik (kontrak) selama setahun di bawah UMP dengan kerjasama Syarikat Nano Malaysia Sdn. Bhd. 

Namum, beliau hanya bekerja selama beberapa bulan kerana projek dapat disiapkan dalam tempoh yang pendek dan beliau mencuba nasib memohon pekerjaan di syarikatnya sekarang. 

Kejayaan Nurul Akma bermula dari zaman universiti lagi apabila beliau berjaya memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Naib Canselor dalam pertandingan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (Citrex) pada tahun 2017. 

Kejayaan itu telah menjadi rentetan kepada kejayaan yang lain-lain sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

Nurul Akma sentiasa berpegang kepada prinsip perlu melihat setiap situasi dalam sudut positif dan sentiasa ada peluang untuk membaiki diri. 

Selain sokongan padu yang diberikan oleh orang sekeliling dalam setiap perkara yang dilakukannya, beliau sangat berterima kasih kepada UMP kerana memberi peluang seluas-luasnya dalam menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti di universiti. 

Penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti di universiti banyak membantu menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan kemahiran diri serta menyumbang kepada masyarakat dan negara secara langsung. Bukan itu sahaja, ia membantu menyiapkan diri melangkah ke alam pekerjaan. 

Disediakan Oleh : Nurizzatul Alin Ahmad Bastani, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri