Skip to main content

Pemasangan solar dan kepakaran teknologi UMPSA bantu ringankan beban keluarga asnaf

TUARAN, 1 Mac 2024 - Tiada apa yang lebih menggembirakan dan melegakan apabila rumah yang didiami seorang ibu tunggal bersama lima orang anaknya termasuk dua daripadanya berkelainan upaya kini diterangi cahaya buat mereka sekeluarga. 

Prihatin dengan nasib sebahagian keluarga yang dihimpit kesusahan, barisan pengurusan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkunjung ke rumah keluarga Affendi Adak, 25, dari Kampung Roun sempena Program Kembara Prihatin@Negeri di bawah Bayu 2.0 baru-baru ini di Tuaran. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, dalam program ini, Yayasan UMPSA dan rakan kerjasama, Samaiden dan Mr. Solar telah memasang enam unit panel solar, 100m kabel DC dan  empat biji bateri VRLA 12V, 120aH untuk projek yang  dilaksanakan dalam kluster teknologi melibatkan beberapa lokasi sekitar kampung di sini. 

“Projek ini diketuai oleh Jurutera Kanan/Pengurus Tenaga di UMPSA, Ts. Haji Mohd Nurul Akla Mohd Azlan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga solar. 

“Tenaga Solar ini akan membuka mata penduduk kampung berkenaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang untuk memberikan alternatif bersih kepada sumber tenaga konvensional,” katanya. 

Pemasangan solar dan kepakaran teknologi UMPSA bantu ringankan beban keluarga asnaf

Program Kembara Prihatin ini turut seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam pelbagai aspek kehidupan manusia dan alam sekitar menjelang tahun 2030.  

Ini termasuklah mencapai matlamat SDGs seperti tiada kemiskinan, kelaparan sifar, peningkatan pendidikan, kebersihan dan kesihatan, serta tindakan iklim.

Beliau yang hadir ketika menyampaikan sumbangan kit makanan dan sumbangan tunai kepada keluarga di sini amat menghargai sumbangan yang diterima daripada pihak Samaiden dan Mr. Solar atas keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti Tuaran, Sabah.

Dalam pada itu, Affendi Adak berkata, bantuan yang diberikan ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Affendi menyifatkan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin ke kediamannya membuktikan bahawa keprihatinan universiti dan cakna dengan nasib masyarakat.

Beliau kini tinggal bersama ibu, Helen Magindah, 60 setelah kematian ayahnya, Adak Unggi, 63 sejak beberapa tahun lalu. 

Manakala adik-beradik lain Ardlyn Adak, 33 yang merupakan kakak sulung dan adiknya, Arfizal Adak, 24 kedua-duanya merupakan orang kelainan upaya (OKU). 

Pemasangan solar dan kepakaran teknologi UMPSA bantu ringankan beban keluarga asnaf

Kini, hanya beliau dan kakak keduanya, Ardla Adak, 30 yang menyara keluarga serta membantu persekolahan adiknya, Ardefazira Adak, 19 yang kini mengikuti persekolahan Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nangka. 

Beliau sentiasa mengharapkan agar adiknya berjaya dan dapat mengubah nasib mereka sekeluarga. 

Penduduk di sini juga turut berpeluang menikmati manfaat daripada Program Teknologi yang dilaksanakan di sini dengan pemasangan solar bagi meningkatkan taraf kelangsungan hidup penduduk di kampung-kampung tersebut untuk kegunaan harian. 

Sumbangan panel solar ini turut dilaksanakan untuk projek lampu dan portable charger yang dimanfaatkan oleh masyarakat di kampung Batangan, Balai Raya Kampung Kiwatu/Roun dan juga Pondok Bas Kampung Serusop di sini. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit