Skip to main content

Tawaran buat alumni sertai program Protege UMPSA

PEKAN, 2 Ogos 2023- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini  membuka peluang buat alumni universiti untuk menimba pengalaman berkhidmat di dalam universiti ini melalui Program Felo Perdana (Protege) UMPSA. 

Program berprestij ini bertujuan untuk mengasah serta memperkukuhkan kemahiran interpersonal dan kepimpinan mereka di peringkat yang tertinggi. 

Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk melatih dan melahirkan generasi pemimpin muda yang berkualiti dan kompeten di pelbagai bidang industri.
 
Program pembangunan profesional ini turut memberi peluang kepada para graduan universiti untuk menimba pengalaman dalam realiti kerja. 

Para peserta yang dikenali sebagai protégé akan ditempatkan di pelbagai jabatan di dalam universiti. 

Mereka akan berkhidmat di bawah bimbingan mentor yang terdiri daripada Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi Universiti termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta. 
 
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, alumni yang berjaya mengikuti Program Protege ini bakal dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal yang relevan dalam sudut pengurusan dan pentadbiran, sekali gus membantu mereka memahami budaya dan dinamika struktur organisasi di dalam negara. 

“Melalui program ini juga, protege berpeluang memperluas rangkaian profesional mereka, memperoleh pengalaman kerja yang berharga dan mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa hadapan.
 
“Malahan program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal dalam bidang yang berkaitan tetapi juga menekankan kepentingan pembangunan kemahiran insaniah (soft skills),” katanya. 

Dalam pada itu, Protege turut didedahkan kepada kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan masa, kerjasama kumpulan, dan penyelesaian masalah.

Ini bertujuan untuk menghasilkan individu yang berdaya tahan, mampu beradaptasi dan bersikap lebih kompetitif serta bersedia menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar.

Program Protege 2.0 kini  bakal menyusul dengan menawarkan kepada lebih ramai peserta dan distrukturkan kepada dua pecahan iaitu Program Felo Perdana UMPSA dan Program Felo Korporat UMPSA. 

Buat julung kalinya, Program Felo Korporat UMPSA diperkenalkan bagi meluaskan rangkaian dan membolehkan para peserta mempelajari sektor pengurusan dan pentadbiran di pelbagai sektor industri. 

Program ini telah mendapat kerjasama dengan pelbagai organisasi ternama dan institusi kerajaan yang menawarkan peluang kepada alumni UMPSA untuk berkhidmat dan belajar di bawah naungan tokoh korporat mereka.

Sejak dilancarkan buat pertama kali pada 5 Oktober 2022 tahun lalu oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, terdapat seramai lapan orang protege telah berjaya dipilih dan ditempatkan di pelbagai jabatan di universiti ini. 
 
Pencarian Protege Felo Perdana dan Felo Korporat UMPSA kini dibuka kepada semua alumni UMPSA. 

Calon yang berminat boleh terus memuat turun borang permohonan dengan melayari laman web di  https://www.ump.edu.my/sites/default/files/2023-07/pencarian-protege-2…
 
Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Ogos 2023 (Rabu).

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
ainaa adhreena