Skip to main content

UMPSA anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’

GAMBANG, 4 April 2024 - Seramai kira-kira 600 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah menerima manfaat daripada Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’ bermula dari 4 hingga 6 April 2024.

Program ini dijalankan bersempena musim pulang ke kampung bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

UMPSA anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’

Kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Yayasan UMPSA dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA itu merangkumi taklimat keselamatan, pemberian vest dan hebahan keselamatan serta sumbangan petrol kepada 250 biji motor dan 40 buah kereta pelajar bagi setiap kampus di Pekan dan Gambang.

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena lawatannya ke UMPSA menerusi siri jelajah program Semarak Ramadan KPT Menteri KPT ke Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). 

UMPSA anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat Sampai Selamat’

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Russlim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Yang di-Pertua, MPP, Muhammad Haykal Halid.

Kempen ini dijalankan bagi memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada para pelajar UMPSA agar sentiasa berhati-hati semasa di jalan raya terutama menjelang musim perayaan ini. 

Sumbangan minyak petrol juga turut diberikan sebagai inisiatif meringankan sedikit beban pelajar. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Zaffaruddin Hamzah

Reports by:
Naqiah Puaad